top of page

Pulihkan negara bermula dengan rakyatnya

  • Writer: Omar Zin
    Omar Zin
  • Jun 22, 2021
  • 3 min read

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menyifatkan pelan pemulihan negara tidak mampu berlangsung tanpa pemulihan sosio-ekonomi rakyat.


Beliau berkata, kerajaan harus menumpukan kepada pemberian dana yang mencukupi; pelaksanaan moratorium bank secara automatik; subsidi gaji dan pengenalan insuran pekerjaan automatik buat semua rakyat Malaysia yang bekerja.


Katanya, ia menyelamatkan bukan sahaja segmen B40 tetapi juga M40 yang kini berisiko terjerumus ke dalam kancah kemiskinan.


“Pelan pemulihan negara juga terganggu apabila operasi bagi 128,150 syarikat berdaftar (walau pada awalnya diumum 95,142 syarikat) melibatkan kira-kira 1.57 juta pekerja dibenarkan juga.


“Akhirnya menjelang 15 Jun 2021, kes hampir mencecah 5 ribu sehari, dengan 639 kluster COVID-19 sahaja dari tempat kerja sektor pembuatan.


“Keengganan mengeluarkan dana untuk membiayai sara hidup rakyat tidak boleh dijadikan alasan kepada pembukaan industri yang berterusan,” katanya.


Pada masa sama, Nurul Izzah berpandangan negara juga tidak mampu pulih sekiranya PKS tidak diberi pemanjangan tempoh moratorium automatik sebagaimana disaran pakar ekonomi.


“Sebanyak 37.7% daripada PKS akan gulung tikar buat selama-lamanya sekiranya PKP berterusan.


“Bukan sahaja PKS terbeban, tetapi syarikat bertangga M40 di Permatang Pauh seperti De’ Pauh Cafe mengalami kerugian yang besar dan terjejas kewangannya hampir 90 peratus; manakala Restoran Fauzan Kari Kepala Ikan pula terpaksa menutup operasi mereka apabila menanggung hutang yang semakin menggunung.


“Pengumuman perancangan bantuan tunai maksima RM500 dan geran PKS RM1500 beserta upah RM600 seorang hanya untuk sebulan adalah tidak memadai,” katanya.


Tambahnya ia jauh beza dengan keuntungan yang dicatatkan oleh sektor perbankan.


“Bandingkan dengan sektor perbankan yang mencatatkan keuntungan bersih lumayan walau moratorium enam bulan dilaksana waktu PKP 1.0; Maybank, RM2.39 billion (+16.6%); RHB Bank, RM650.39 juta (+13.9%), Public Bank Berhad, RM1.529 bilion (+15.1%); berakhir 31 Mac 2021.


“Laporan Kewangan RHB Berhad 2020 memperincikan sebanyak RM4,147,000 dibayar kepada Pengarah Urusan mereka, dengan nota kaki bonus tambahan sebanyak RM 1,747,000 pada tahun yang sama.


“Manakala Laporan Tahunan Public Bank 2020 - mencatatkan komponen bonus yang besar hampir 50% daripada jumlah gaji bernilai RM18,968,000 dibayar kepada Pengarah Eksekutif,” katanya.


Dari segi warga pekerja, Nurul Izzah bimbang begitu ramai yang secara sembrono dipotong gaji mereka atau dibuang, sedangkan negara hanya mampu pulih sekiranya pekerjanya mampu terus hidup.


“Cadangan pemberian subsidi gaji sekurang-kurangnya RM1,500 selama tiga bulan, dan bukannya sekadar RM600 sebulan sebagaimana diumum, perlu diambil kira melihat realiti kadar pengangguran yang kini mencecah 5.1 peratus, sementara pengangguran belia kohort 15-24 tahun meningkat sehingga 13.7 peratus.


“Diakui, moratorium automatik dan subsidi gaji hanya sekadar plaster luka sementara bagi luka dalam yang memerlukan pembedahan lanjut.


“Pada saat inilah, sepatutnya program pemulihan negara menerusi Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) dahulunya diterajui Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KPWKM yang mengusulkan Sistem Pangkalan Data Nasional Perlindungan Sosial bagi memperkemaskan program bantuan sosial yang tidak seragam - dilaksana dengan serta-merta.


“Kini, MySPC di bawah Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin; dan hanya sempat bertemu buat kali kedua pada bulan ini setelah bermesyuarat buat kali pertamanya pada Disember 2020.


“Skim gig yang ditawarkan MDEC dan agensi kerajaan lainnya hanya mampu mencapai kurang 10 peratus daripada pekerja informal; yang sebahagian besarnya merupakan petugas barisan hadapan ekonomi negara.


“Mereka bertarung nyawa tiap hari dalam menjalankan tugas, tapi tidak punyai jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kebajikan mereka dalam situasi cemas,” katanya.


Justeru, Nurul Izzah melihat Pelan Pemulihan Negara sebagai ‘exit strategy’ yang menyaksikan rakyat terus dipenjara dengan hukuman yang jauh lebih berat apabila perintah berkurung bakal berterusan sekurang-kurangnya sehingga bulan September tanpa bantuan sosioekonomi yang mencakupi keperluan rakyat.


“Jangan sampai kita terlalu tertumpu kepada konsolidasi fiskal dan melakukannya terlalu awal. Apa gunanya penarafan hutang negara jika rakyat merana dan ekonomi menjunam?


“Sementara kita harungi PKP terkini, kerajaan digesa melaksanakan Pelan Induk Perlindungan Sosial Kebangsaan yang telah dibentangkan sekian lama bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum; mengagihkan bantuan secara efisien untuk menepati impak yang disasarkan.


“Pertimbangkan bantuan sejagat tanpa memilih bulu dan laksanakan pendaftaran bagi setiap warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan sosial yang amat diperlukan secepat mungkin.


“Pulihkan negara bermula dengan rakyatnya,” katanya.

 
 
 

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page