Pulihara bangunan bersejarah sebagai pusat kebudayaan, ekonomi - PM
- Suara Keadilan
- Mar 8
- 1 min read

Bangunan bersejarah di negara ini terutama yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur perlu dipulihara dan dijadikan tumpuan pelancongan utama.
Hal itu ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengikuti taklimat usaha pemuliharaan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) ke atas Bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad.
"Sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, saya diberi penerangan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berkenaan status semasa kerja-kerja pemuliharaan Bangunan Carcosa Seri Negara dan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad.
"Penerangan melalui "gallery board walk" ini antara lain memaparkan gambaran terkini projek yang sedang dijalankan yakni sebahagian daripada inisiatif Khazanah untuk memulihara dan memberi nafas baru kepada bangunan-bangunan warisan negara tersebut.
"Saya percaya, usaha ini adalah untuk memastikan bangunan bersejarah ini bukan sahaja dikekalkan tetapi turut dimajukan sebagai pusat kebudayaan dan ekonomi yang mampan serta boleh diakses oleh semua," katanya dalam muat naik Facebook.
Menurut Anwar, sejarah warisan bangunan era kolonial begitu unik dan perlu dijadikan mercu tanda yang dijaga rapi sebagaimana di kota kota besar lain di dunia.
"Sebagai salah satu mercu tanda warisan Kuala Lumpur, pemuliharaan ini juga bertepatan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh identiti nasional dan memperkayakan pengalaman pelancong serta masyarakat tempatan," katanya lagi.
Comentários