'Pulih Tabung Haji libat wang pembayar cukai Islam, bukan Islam'


Masalah kewangan dan pengurusan Tabung Haji tidak boleh dianggap semata-mata sebagai isu umat Islam kerana sebarang keperluan menyelamatkan atau memulihkan institusi itu menggunakan dana awam yang akhirnya memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin (gambar) berkata walaupun Tabung Haji merupakan institusi yang berkait rapat dengan umat Islam, kedudukan kewangannya tetap mempunyai implikasi kepada kewangan negara sekiranya kerajaan perlu menggunakan dana awam bagi membantu memulihkannya.
Menurut beliau, perkara itu perlu difahami kerana wang yang digunakan kerajaan bukanlah wang milik kerajaan secara mutlak, sebaliknya hasil yang dikumpulkan daripada rakyat melalui cukai serta sumber-sumber negara.
"Orang Islam memang ada kaitan secara langsung kerana kita yang menyimpan wang di Tabung Haji. Tetapi apabila kerajaan terpaksa menggunakan duit negara untuk menyelamatkan institusi ini, ia bukan lagi duit orang Islam sahaja.
"Duit itu melibatkan seluruh negara. Sebab itu isu ini bukan semata-mata isu Melayu atau Islam tetapi sudah menjadi isu kewangan awam dan kepentingan nasional," katanya pada sesi taklimat RCI Tabung Haji di PPR Desa Rejang, semalam.
Beliau berkata, apabila kerajaan menggunakan dana awam untuk membantu memulihkan Tabung Haji, sumber dana tersebut turut merangkumi wang cukai yang dibayar oleh rakyat bukan Islam, selain pembayar cukai beragama Islam.
"Maknanya, kalau kerajaan menggunakan wang awam untuk membantu memulihkan Tabung Haji, kita perlu faham bahawa wang itu datang daripada hasil negara yang dikumpulkan daripada semua rakyat, termasuk pembayar cukai bukan Islam.
"Mereka mungkin tidak mempunyai akaun Tabung Haji dan tidak terlibat secara langsung dengan institusi itu, tetapi mereka tetap menyumbang kepada hasil negara melalui cukai. Sebab itu kesannya tidak boleh dilihat sebagai isu orang Islam sahaja.
"Perkataan yang paling tepat bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai. Kita perlu tahu duit itu bukan duit mereka. Itu duit kita yang mereka uruskan bagi pihak rakyat.
"Kita yang bayar cukai, kita yang menyumbang kepada hasil negara. Jadi apabila kerajaan menggunakan dana awam untuk menyelamatkan sesuatu institusi, akhirnya kita juga yang menanggungnya," katanya.
Dr Abu Hafiz berkata, perkara sama boleh dilihat dalam isu penggunaan dana kerajaan bagi membayar hutang atau menyokong subsidi, kerana setiap peruntukan mempunyai kos peluang yang boleh memberi kesan kepada kemampuan kerajaan membiayai keperluan lain.
Katanya, jumlah tersebut pada masa sama berpotensi digunakan untuk membina hospital, sekolah, perumahan rakyat atau kemudahan awam lain.
"Kalau wang kerajaan digunakan untuk menyelamatkan sesuatu institusi, kita perlu tanya, wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk apa? Hospital, sekolah, rumah untuk rakyat atau keperluan lain.
"Sebab itu rakyat mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana wang awam digunakan dan siapa yang bertanggungjawab terhadap sesuatu keputusan kewangan," katanya.
Beliau menegaskan, isu Tabung Haji perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana sebarang kelemahan yang akhirnya memerlukan campur tangan kewangan kerajaan bukan sahaja memberi kesan kepada pendeposit, malah boleh memberi implikasi kepada keseluruhan kewangan negara.




Comments