top of page

Pulih paya bakau mesti beri manfaat kepada komuniti tempatan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read
Syed Ibrahim Syed Noh majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Model Kehidupan Mampan Kuala Sepetang di Taiping, Perak.
Syed Ibrahim Syed Noh majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Model Kehidupan Mampan Kuala Sepetang di Taiping, Perak.

Usaha memulihara ekosistem paya bakau di negara ini perlu seiring usaha meningkatkan hidup komuniti yang kehidupan dan mata pencarian mereka bergantung pada kawasan tanah lembap itu.


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, selain melindungi kawasan pantai, nilai sebenar ekosistem itu bukan hanya terletak pada fungsi alam sekitarnya, tetapi juga pada masyarakat, tradisi dan cara hidup yang dikekalkan.


"Di sebalik setiap ekosistem paya bakau, terdapat komuniti yang kehidupannya bergantung padanya, warisan ilmu tradisional yang diwarisi setiap generasi, industri yang berkembang di sekitarnya dan cara hidup yang terbentuk sekian lama.


"Memulihara ekosistem paya bakau tidak seharusnya mengorbankan industri tradisional, sebaliknya perlu membuka peluang kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.


"Apa makna pembangunan mampan sekiranya sesuatu ekosistem menjadi lebih bernilai, tetapi masyarakat yang hidup di sekitarnya tidak turut menikmati nilai tersebut? " katanya dipetik media tempatan.


Syed Ibrahim berkata begitu ketika berucap pada majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Model Kehidupan Mampan Kuala Sepetang di Taiping ada Ahad.


Sehubungan dengan itu, Syed Ibrahim berkata inisiatif seperti Pengurangan Pelepasan daripada Penyahhutanan dan Kemerosotan Hutan (REDD Plus), karbon biru, kredit karbon, prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ekonomi hijau menjadi semakin penting.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang model ekonomi baharu mestilah dibina berasaskan data saintifik, pengukuran yang telus, integriti dan tadbir urus yang baik bagi memastikan keyakinan dan kepercayaan awam terus terpelihara.

"Kelestarian sebenar dicapai apabila alam semula jadi dilindungi, ekonomi terus berkembang dan komuniti diperkasa untuk maju seiring dengan pemuliharaan alam sekitar," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page