Pulau Pinang sokong ekonomi ibu tunggal melalui program JPWK
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat dengan menyasarkan tajaan sebanyak RM100,000 sebulan bagi menyokong perniagaan golongan ibu tunggal di negeri itu.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim memaklumkan, dana dibawah program bersama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) akan dimanfaatkan untuk membeli produk dihasilkan ibu tunggal.
"Produk tersebut kemudian akan diagihkan semula kepada golongan memerlukan. Setiap JPWK akan mencari penaja yang boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM2,500, sama ada daripada usahawan, syarikat atau individu.
"Sambutan terhadap inisiatif ini amat menggalakkan, khususnya bagi produk seperti kuih raya yang mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan," katanya dipetik.
Beliau yang juga ADUN Sungai Pinang sementara itu menegaskan, program tersebut dilaksanakan bersempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026, dengan fokus memperkasa ekonomi ibu tunggal melalui penghasilan produk bernilai tinggi.
Selain membuka ruang menjana pendapatan kepada ibu tunggal, inisiatif itu juga dapat memastikan bantuan sampai secara terus kepada masyarakat setempat
"Inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir, selari dengan semangat membina masyarakat yang lebih adil, sejahtera dan inklusif," tambahnya.




Comments