top of page

Pulau Pinang sokong aspirasi PMX jadikan Malaysia jadi hab AI serantau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Exco P Pinang, Fahmi Zainol menyokong langkah PMX mahu jadikan Malaysia sebagai hab AI serantau
Exco P Pinang, Fahmi Zainol menyokong langkah PMX mahu jadikan Malaysia sebagai hab AI serantau

Oleh: Hasbul Ahmad


Malaysia berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab serantau dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) berasaskan tenaga hijau, hasil pelaburan strategik syarikat global seperti NVIDIA sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) sewaktu menghadiri Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan baru baru ini.


Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata, pengukuhan ekosistem AI dan digital yang sedang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan tarikan negara kepada pelabur teknologi tinggi, malah membuka peluang besar kepada rakyat melalui latihan, penyelidikan dan inovasi.


"Pelaburan NVIDIA meletakkan Malaysia sebagai hub serantau dengan infrastruktur AI berasaskan tenaga hijau. Ini menjadikan negara lebih kompetitif dan menarik kepada pelabur global.


"Kerjasama dalam rangka APEC juga memudahkan pemindahan pengetahuan, penyeragaman digital dan akses kepada pasaran lebih tiga bilion penduduk, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian ekonomi serantau.


"Dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, Korea Selatan antara peneraju dunia dalam bidang semikonduktor, bateri, automasi dan AI.


"Melalui integrasi rantaian bekalan dengan negara tersebut dan APEC, Malaysia boleh meningkatkan kapasiti pembuatan bernilai tambah tinggi," kata Fahmi kepada Suara Keadilan.


Tambahnya lagi, inisiatif penjanaan bakat turut diberi perhatian dengan perancangan mewujudkan kerjasama pendidikan antara universiti di Malaysia dan Korea, termasuk latihan industri bersama syarikat global seperti NVIDIA, Samsung dan LG.


"Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran tenaga kerja tempatan, tetapi juga mempercepatkan pembangunan sektor baharu seperti pembuatan komponen AI, pemprosesan data serta penyelidikan," ujarnya.


Katanya lagi, Malaysia juga berpotensi menjadi pusat logistik, hab pemprosesan mineral strategik dan pusat data bagi pasaran APEC, selaras usaha memperkukuh industri kecil dan sederhana (IKS) dalam rantaian bekalan teknologi tempatan.


"AI kini menjadi pemacu utama ekonomi global bernilai trilion dolar. Negara yang menguasai AI memiliki kelebihan strategik dalam bidang data, rekabentuk dan automasi. Malaysia beraspirasi menjadi peneraju AI di Asia Tenggara.


"Pelbagai inisiatif seperti pembangunan hub pusat data, Rangka Kerja AI Nasional 2024 dan integrasi AI dalam pertanian, kesihatan, pendidikan serta keselamatan operasi kerajaan menunjukkan komitmen Malaysia ke arah masa depan digital yang mampan.


"Dengan sumber nadir bumi di Kedah, Perak dan Pahang serta rantaian pemprosesan sedia ada melalui Lynas Malaysia, kita mempunyai kelebihan strategik dalam menyokong permintaan global terhadap teknologi hijau," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page