Pulanglah mengundi, pilih kepimpinan amanah, bekerja - Anwar
- Helmi Mohd Foad
- 25 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh anak Johor termasuk mereka yang berada di perantauan supaya pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan menggunakan kuasa rakyat untuk menentukan masa depan negeri itu.
Menerusi pesanan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, Perdana Menteri mengucapkan selamat pulang mengundi kepada semua pengundi sambil mengingatkan mereka supaya membuat pilihan berdasarkan rekod, keupayaan serta kesungguhan sesebuah kepimpinan dalam membangunkan negeri.
Beliau berkata, pilihan raya negeri itu bakal menentukan hala tuju Johor dan rakyat perlu memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa serta benar-benar bekerja demi kepentingan rakyat.
"Esok hari keramat yang bakal menentukan babak seterusnya dalam ceritera masa depan negeri dan rakyat Johor.
"Saya menyeru seluruh anak Johor, termasuk yang berada di perantauan supaya pulang dan menggunakan kuasa rakyat untuk memilih kepimpinan yang amanah, berwibawa dan benar-benar bekerja demi negeri ini," katanya.
Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan keupayaan mentadbir Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan menerusi pelaksanaan pelbagai reformasi, peningkatan pelaburan, usaha menaikkan gaji serta penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan yang bermaruah.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah dan projek yang sekian lama tertangguh selain memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Semangat pembaharuan dan tadbir urus inilah yang akan kita bawa untuk mengangkat Johor ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Beliau turut memohon sokongan rakyat Johor supaya memberikan kepercayaan kepada PH untuk menerajui negeri itu dengan berteraskan amanah, tatakelola baik serta memastikan keadilan dan peluang yang saksama untuk semua.
"Justeru itu, dengan penuh rendah hati dan hormat, saya memohon saudara dan saudari memberikan kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk memimpin Johor dengan amanah, tatakelola yang baik serta menjamin keadilan dan peluang yang saksama untuk semua," kata Anwar.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan rakyat supaya menolak politik yang disifatkan hanya bergantung kepada sentimen kebencian kaum dan agama demi meraih sokongan.
"Pilihanraya ini adalah peluang untuk menolak mereka yang mempertahankan pencuri wang rakyat, serta menolak politik yang muflis idea dan hanya bergantung kepada hasutan kebencian kaum dan agama demi meraih undi," katanya.
Beliau turut mendoakan agar Johor dikurniakan kepimpinan yang amanah serta membuka lembaran baharu yang lebih makmur, adil dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor.
Beliau mengakhiri pesanan itu dengan pantun:
Nasi ambeng dijamah bersama,
Tanda kasih dalam jemaah,
Kejayaan negara sebutan dunia,
Bermula dengan jari yang memangkah.
