Pulangkan peruntukan ADUN N Sembilan: "Tiada isu" – SPRM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan semasa mempunyai hak untuk meluluskan apa-apa peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata begitu sebagai mengulas isu peruntukan RM180,000 kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang diluluskan sehari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu.
Dipetik laporan Astro Awani beliau berkata, tiada sebarang isu timbul berhubung kelulusan peruntukan tersebut kerana ia dibuat sewaktu kerajaan masih mentadbir secara sah.
Situasi itu berbeza jika ia diumumkan oleh kerajaan sementara (caretaker government), yang sepatutnya tidak memperkenalkan dasar baharu yang boleh mengikat pentadbiran seterusnya.
"Kerajaan sementara tidak boleh membuat sesuatu dasar baharu yang kemudian akan mengikat kerajaan yang akan datang.
"Kalau kerajaan yang sah, tiada masalah asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dipetik laporan media.
Beliau bagaimanapun menegaskan, sekiranya terdapat laporan berserta bukti berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang, SPRM masih boleh menjalankan siasatan.
Kerajaan Negeri Sembilan diterajui Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos lalu, menuntut seramai 17 bekas wakil rakyat (PH) dan dua bekas penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan negeri terdahulu memulangkan semula peruntukan RM150,000.
Bagaimanapun bekas EXCO Kerajaan Negeri, J Arul Kumar berkata, kesemua ADUN telah menggunakan sebahagian daripada peruntukan tersebut untuk kebajikan rakyat, malah ada yang telah menggunakannya sepenuhnya.
"Apabila kita terima peruntukan itu, sudah tentulah kita telah salurkan kepada individu ataupun mana-mana organisasi seperti sekolah, persatuan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Pembangunan Kampung (JPKK).
"Kita tidak menggunakan dana ini untuk kegunaan sendiri ataupun untuk tujuan politik, tetapi semuanya digunakan untuk aktiviti kemasyarakatan," katanya dalam sidang media baru-baru ini.




Comments