Sepetang bersama seniman Paksi di Kampung Baru Sungai Perdak, Karak semalam memberi kesempatan kepada orang seni meluahkan rasa hati melihat kebobrokan pengusaha balak, kerajaaan Pahang dan undang undang perhutanan yang longgar menyebabkan banjir besar pada pertengahan Disember 2021 lalu.
Para seniman membaca puisi di celah longgokan kayu balak menimbulkan kesan perlunya alam sekitar diberi tumpuan utama dalam apa juga agenda kerajaan negeri mahu pun pusat selepas ini.
Bagi Presiden Paksi, Shamsudin Osman atau lebih dikenali sebagai Dinsman, penganjur acara bacaan pusi itu, latar belakang longgokan kayu balak dan rumah yang rosak akan menginsafkan sesiapa sahaja yang melihat rakaman acara baca puisi itu.
"Mulanya kami datang untuk melihat bagaimana dalam media (digambarkan) balak datang ke depan rumah. Itu menyebabkan kami tertarik dengan balak ini.
"Pihak Paksi khasnya tergerak berbuat sesuatu. Kami hadir dengan tujuan untuk berkarya. Mulanya kami mahu buat teater banjir seperti teater sawah padi, teater atas pokok sebelum ini.
"Bila kami nampak saya terus bincang dengan beberapa orang dan terus buat (acara baca puisi) dengan cepat sebelum puing dibersihkan. Kita buat keputusan dalam masa seminggu untuk baca puisi banjir balak," katanya.
Menyentuh mengenai kerajaan, menurut Dinsman, tiada salahnya mengkritik kerajaan sekiranya kritikan itu tepat.
Katanya, kerajaan dilantik rakyat dan kerana kegagalan mereka maka perlulah mereka mendengar luahan hati rakyat.
"Sebenarnya (acara) ini satu kolaborasi antara kita dan sesiapa sahaja yang terasa nak buat persembahan. Sesiapa boleh berekspresi, berkarya. Ada orang takut kita kata kepada kerajaan. Kerajaan kita lantik, lepas itu kita takut?
"Bukan kita nak lawan. Kita bukan ada apa benda, kita ada mulut sahaja. Kita bukan ada senjata. Banyak orang tak faham seni ini apa benda. Seni adalah penyataan hati nurani. Kalau kita nak lawan setakat itu sahaja pun.
"Pernyataan petang ini kita nak melepaskan kreatifviti kita, menyatakan kehairanan kita, itu sahaja. Kita bukan orang politik," katanya
Antara yang terlibat membaca puisi petang semalam seperti seniman Kasim Mohamad, Yassin Salleh, Khaidir Ahmad, Anbakri dan ramai lagi.
Comments