PSKL2040: Kerajaan bangunkan Wilayah Persekutuan seimbang, inklusif
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan secara seimbang dan inklusif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, tekanan urbanisasi dan kepesatan pembangunan paling ketara berlaku di Kuala Lumpur berbanding Putrajaya dan Labuan.
Justeru, pihaknya akan memberi tumpuan meningkatkan pendapatan serta memperluas peluang ekonomi rakyat di ibu negara.
"Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) mengunjurkan penyediaan 1.2 juta peluang pekerjaan, termasuk 120,000 dalam sektor informal.
"Pelan ini juga menekankan perluasan peluang perniagaan kecil dan mikro melalui ruang niaga mampu milik seperti pop-up, food truck dan food cart, serta menggalakkan penggunaan semula bangunan sebagai ruang perniagaan," katanya dipetik dalam perbahasan Dewan Rakyat, semalam.
Dr Zaliha sebelumnya menjawab soalan mengenai kesan sosial pembangunan pesat dan urbanisasi di Wilayah Persekutuan terhadap masyarakat setempat terutamanya dalam aspek persaingan sosial dan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu tambah Dr Zaliha, dasar RENEW dan Garis Panduan Penggunaan Semula Bangunan Kuala Lumpur telah dilancarkan Oktober lalu.
Ia bertujuan merancakkan semula ekonomi bandar, membuka lebih banyak peluang pendapatan, dan meningkatkan mobiliti sosial rakyat.









Comments