PSC Agensi JPM kesal Dr Wan Junaidi perkecil skandal Azam Baki
- Redzuan Shamsudin
- Jan 9, 2022
- 2 min read

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki tidak melakukan kesalahan kerana saham yang dibeli kononnya dalam kategori 'mampu milik' dikesali oleh beberapa anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri (PSC Agensi JPM).
Menurut anggota PSC dari Pembangkang tersebut, Dr Wan Junaidi tidak seharusnya memperkecilkan skandal yang dihadapi Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, sebaliknya perlu menekankan agar siasatan segera dijalankan.
"Kami selaku ahli-ahli PSC agensi JPM ingin menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan Dr. Wan Junaidi yang disiarkan oleh media pada 9 Januari 2022.
"Selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, kami kesal Wan Junaidi nampaknya memperkecilkan keseriusan skandal pegangan saham Azam Baki dengan membangkitkan nilai saham-saham pada masa pembelian
"Wan Junaidi telah memberikan justifikasi isu saham dipegang oleh Azam dengan mengatakan ia bernilai RM 330,000 dan adalah mampu milik.
"Persoalan kami, mengapakah Wan Junaidi kelihatan bersifat melindungi Azam?" kata anggota PSC itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut mereka lagi, isu pembelian saham bukan berlegar di sekitar mampu atau tidak tetapi konflik kepentingan dan integriti.
Tegas mereka, sekiranya isu itu cuba dipesongkan ke arah lain maka defisit kepercayaan rakyat terhadap SPRM selaku pembasmi rasuah akan membengkak.
Selain itu, tambah mereka penyataan Wan Junaidi bahawa Azam sendiri mampu beli saham tersebut guna gaji sendiri juga bertentangan dengan kenyataan di mana Azam menyatakan bukan beliau yang membeli tetapi adiknya menumpang namanya untuk membeli.
"Kami ambil maklum Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang diketuai Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim akan mengambil langkah dalam isu Azam Baki ini.
"Persoalan kami, bila lagi giliran PSC Agensi JPM yang diketuai YB Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada Pas untuk melakukannya? Kedua-dua jawatankuasa ini ditubuhkan melalui peruntukan yang berlainan dan mempunyai peranan yang berlainan untuk dimainkan.
"Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran bagi Azam Baki diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas secara berdikari tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif?
"Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat kena tulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan? Kami dengan sesungguhnya menyatakan bahawa tiada keperluan mendapatkan kelulusan Wan Junaidi dan pihak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan setiausahanya harus menetapkan tarikh bagi pendengaran PSC Agensi JPM tanpa dilengah-lengahkan lagi," kata mereka lagi.
Sehubungan itu, anggota PAC berkenaan sekali lagi mendesak agar PSC Agensi JPM juga harus diberi peluang menjalankan tugas selaras dengan apa yang akan dilangsungkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Rais Yatim.
Comments