PSB peluang rakyat dapat kediaman selesa, bermaruah - Ahli Parlimen
- Suara Keadilan
- May 6
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menempelak tindakan pembangkang yang didakwa cuba memainkan isu kaum bagi menghasut rakyat supaya menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Beliau menegaskan, hak-hak orang Melayu telah dijamin sepenuhnya dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta berkenaan bertujuan menyediakan kerangka undang-undang lebih telus dan menyeluruh supaya kawasan perumahan bandar yang uzur dapat dibaik pulih secara sistematik sekaligus menyediakan perumahan selamat dan bermaruah kepada rakyat.
"Tidak wajar ia dianggap usaha penggentrifikasian atau pembangunan kondominium mewah. Ia tentang memastikan rakyat mendapat akses kepada perumahan yang selamat, bermaruah dan selesa.
"PSB ini peluang untuk memperbaiki kehidupan rakyat di kawasan bandar yang semakin terpinggir. Justeru, kita perlu bersuara apabila dakwaan tidak berasas dilemparkan," katanya dalam kenyataan.
PSB kini dalam peringkat perancangan. Dengan adanya akta ini, ia akan memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan dan negeri bagi membangunkan semula serta memperbaharui bangunan atau tanah yang terbengkalai tanpa memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya.
Kerajaan sudah memberi jaminan hak pemilik kediaman akan dipertahankan. Berdasarkan prinsip “one-to-one” atau “not less favourable” di mana pemilik akan menerima unit kediaman baharu dibangunkan semula yang lebih baik daripada asal.
Sementara itu Syerleena menegaskan, banyak kawasan di bandar terutama di Lembah Klang dan Pulau Pinang sedang berdepan kerosakan infrastruktur, sistem pendawaian usang, lif rosak serta keadaan persekitaran yang tidak sihat.
"Rifle Range di Pulau Pinang sebagai contoh, suatu ketika dahulu model perumahan awam progresif, kini menghadapi pelbagai masalah fizikal dan keselamatan.
"Permohonan bantuan berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian kerana tiada mekanisme undang-undang nasional yang kukuh," ujarnya.
Beliau menerusi kenyataan sama turut membidas pembangkang yang hanya gemar mengkritik usaha yang ingin dilaksana kerajaan tanpa memberikan apa-apa cadangan atau solusi membina.
"Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah menjemput wakil rakyat pembangkang untuk turun padang meninjau keadaan flat-flat usang, namun tiada seorang pun hadir. Mereka lebih selesa mengkritik dari jauh," tambahnya.
Comments