top of page

PSB 2025: Kerajaan guna prinsip inklusif, adil tentukan pembangunan semula

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 27
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan MADANI terus berpegang teguh kepada prinsip keadilan sosial dalam pembangunan negara menerusi pelaksanaan Rang Undang undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bukan sahaja memperbaharui wajah bandar, malah menjamin keselamatan penghuni, meningkatkan nilai hartanah sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.


Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Danish Hairudin menyifatkan, bantahan pembangkang yang mahu penangguhan pembentangan kali kedua Akta PSB, sebagai tidak munasabah dan tidak berasas.


Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang berkata, akta itu telah melalui kajian menyeluruh oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan mengambil kira aspek teknikal, keselamatan, kepentingan pemilik hartanah serta masa depan pembangunan bandar.

Danish Hairudin
Danish Hairudin

''KPKT juga telah memberi jaminan bahawa setiap bangunan akan melalui proses Pemeriksaan Visual Bangunan oleh jurutera yang kompeten setiap sepuluh tahun.


''Melalui proses ini, jangka hayat dan nilai ambang sesuatu bangunan dapat ditentukan dengan tepat sama ada berusia dua puluh tahun atau tiga puluh tahun.


''Ini bermakna sebarang keputusan pembangunan semula dibuat berdasarkan kajian teknikal dan profesional, bukan secara sewenang-wenangnya,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas mengenai Akta PSB akan dibentang kali kedua, namun dilaporkan terdapat bantahan daripada pembangkang untuk melanjutkan tempoh pembentangan kerana RUU PSB itu didakwa tidak dimaklumkan dan diberi kefahaman jelas sehingga menimbulkan kontroversi.


Malah, KPKT turut memberi jaminan bahawa bangunan akan menjalani Pemeriksaan Visual setiap 10 tahun oleh jurutera bertauliah bagi menentukan nilai ambang, sama ada pada usia 20 atau 30 tahun.


Dalam isu sama, Danish berkata, kerajaan juga telah menetapkan mekanisme yang adil iaitu sekiranya 75% pemilik bersetuju, maka pembangunan semula boleh dimulakan.


''Lebih daripada itu, apabila mencapai 80% persetujuan pemilik, kerajaan akan terus berunding dengan baki 20% pemilik sehingga tahap persetujuan tertinggi dapat dicapai.


''Pendekatan ini membuktikan bahawa kerajaan mengutamakan prinsip musyawarah, inklusif, dan adil, serta tidak mengabaikan suara minoriti,'' katanya sambil menghargai usaha kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melaksanakan dasar menyeluruh dan saksama.


Akta PSB juga menetapkan pampasan yang tinggi akan diberikan kepada pemilik kediaman berdasarkan nilai masa hadapan dan tidak sama dengan 'pengambilan paksa' yang dilaksanakan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 sebelum ini kepada pemilik yang menolak pembangunan di sesuatu kawasan.


RUU PSB akan melalui bacaan kedua hari ini dan sekiranya tidak terdapat pindaan akan diluluskan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page