Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dibayangkan akan berlangsung pada musim tengkujuh dan banjir besar November ini memperlihatkan dengan jelas pemimpin Umno tidak mengambil kira kesusahan rakyat menghadapi bencana dalam menetapkan pilihan raya.
Menurut mantan Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu, Syed Mohd Al Amin, PRU pada musim banjir amat menyusahkan rakyat terutama di Pantai Timur yang biasanya akan mengalami bencana itu pada hujung tahun.
Katanya, Umno seolah olah tidak menyedari realiti yang dihadapi rakyat marhaen dalam mencadangkan hal berkenaan.
"Umno parti yang terpisah daripada realiti. Kerana kemaruk kuasa dan takut hukuman atas dosa dosa rasuah pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah, maka mereka rela menghadapi banjir sebab inginkan PRU daripada memikirkan kesengsaraan rakyat sewaktu bencana.
"Umno ini parti yang tiada jiwa rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
PRU ke 15 boleh diadakan pada bila bila masa mulai sekarang sehingga bulan Jun 2023 apabila tempoh penggal kerajaan berakhir pada Julai tahun tersebut.
Bình luận