PRU 16 mungkin lebih baik buat PH di Johor - Hassan Karim
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) berpotensi meraih semula sokongan pengundi masyarakat Cina di Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16, namun kerajaan disaran memberi perhatian terhadap isu e-Invoice, kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan subsidi diesel yang menjadi kebimbangan utama golongan peniaga.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata, berdasarkan pemerhatian dan pembacaannya masyarakat Cina di Johor ketika ini mungkin masih memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir Kerajaan Negeri, namun corak sokongan itu berkemungkinan berubah pada PRU akan datang sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.
"Tetapi PH khususnya, jangan ambil mudah ada isu-isu yang diambil berat oleh masyarakat Tionghua antaranya yang tinggal di bandar yang menjadi penyokong penting bagi PH iaitu dalam kalangan peniaga.
"Mereka mempunyai beberapa kemusykilan, contohnya pelaksanaan sistem e-Invoice yang menjadi keluhan dalam kalangan peniaga.
"Mungkin isu ini tidak begitu dirasai oleh masyarakat Melayu, namun ia memberi kesan kepada masyarakat Cina yang ramai terlibat dalam sektor perniagaan.
"Bagi perspektif kerajaan (pula), ini penting untuk cari hasil negara, tetapi kepada masyarakat peniaga, akan menjejaskan peluang pekerjaan mereka, jadi itu ada kesannya," katanya dalam satu siaran video.
Hassan menegaskan, kerajaan perlu mengambil serius segala keluhan yang dibangkitkan terutama mengenai rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi diesel dan sebagainya.
Justeru, beliau berharap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan akan mengkaji semula perkara berkenaan agar keluhan rakyat daripada pelbagai kaum dapat diberi perhatian sekali gus penambahbaikan dapat dilakukan demi memastikan dasar kerajaan lebih diterima masyarakat.




Comments