
Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bukanlah pilihan raya yang biasa dihadapi rakyat seperti sebelum ini tetapi merupakan persimpangan antara memulihkan masa hadapan negara atau menjunamkan Malaysia ke lembah kehancuran.
Menurut Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, PRU 15 adalah jalan terakhir rakyat boleh menyingkirkan barisan pemimpin yang telah terbukti menyeleweng, merompak serta menindas rakyat.
"Plihan raya ini bukan pilihan raya biasa. Orang anggap PRU itu tukar wakil rakyat, tukar PM. Kita lebih daripada itu.
"Kita nak tukar sistem kerajaan yang ada sekarang. Kita nak hentikan pemahaman bila jadi wakil rakyat gaji tinggi. Bila ada kuasa lantik 70 menteri, semua ini sistem haprak yang tidak menyokong rakyat.
"Kita Allah kurniakan keupayaan. Kita diberikan akal tetapi yang lebih penting hati nurani. Ada perasaan. Negara tak boleh tegak tanpa jiwa, hati nurani yang bersih.
"Kamu nak pimpin mesti cerdik, ikhlas lebih baik dari orang lain. Ini kita lahirkan pemimpin yang lebih rosak daripada yang lain, lebih rasuah, lebih sombong daripada orang biasa," katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Wangsa Maju bagi memperkenalkan calon baharu Zahir Hassan, malam tadi.
Berkenaan peribadi Zahir dan keupayaan berkhidmatnya, Anwar yakin calon itu mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan yang paling penting, bersih daripada sebarang penyelewengan.
"Kita setuju pilih Zahir kerana Zahir orang wilayah. Saya yang paling kuat marah dia. Tetapi apa yang tak boleh kita nafikan, dia itu tokoh reformasi awal di Wilayah Persekutuan.
"Susah payah. Kerja dia baik (profesional) terpaksa pergi ke Pakistan cari nafkah anak isteri dan keluarga. Tiap pilihan raya masuk senarai, saya kata nanti dulu. Dia tak merajuk, dia kerja macam itu juga. Orang tanya pasal apa tak bagi? Sebab dia nampak baik sangat. Saya kata tak boleh Zahir, nak jadi wakil kena garang sikit.
"Jadi dia janji garang sikit sebab itu saya lantik jadi calon .... ," katanya.
Dalam pada itu, bakal Perdana Menteri ke 10 itu mengingatkan anak muda agar memikirkan masa hadapan mereka dalam membuat pilihan dalam PRU 15.
Beliau sedih dengan segelintir anak muda yang sanggup diupah untuk mencerca Pakatan Harapan sedangkan mereka sedia maklum BN - PN lebih teruk dan menyebabkan kecurian berbilion ringgit.
"Saya tengok anak muda diupah bercakap dalam TikTok. 22 bulan hancing.... Kepala hotak engkau. Yang orang curi bilion tak tau. Belajar apa di universiti?
"Pergi Oxford, UIA, UTM kamu belajar apa kalau tak ada nilai, compassion, rahmah, akhlak yang baik? Kamu belajar apa yang izinkan rasuah dan penindasan rakyat miskin," kata Anwar.