Prosiding hina mahkamah terhadap Shafie Apdal, Mona Din dibenar Mahkamah Koroner
- Suara Keadilan

- Oct 23, 2025
- 1 min read

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mendapat kebenaran memulakan prosiding terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan pempengaruh media sosial, Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din, berhubung kenyataan yang didakwa menghina mahkamah dalam kes inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalan dan Nadia Mohd Izhar di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
Menurut pihak pendakwaan, dokumen saman akan diserahkan kepada kedua-dua individu itu dalam tempoh dua minggu, manakala tarikh perbicaraan akan ditetapkan kemudian oleh koroner.
Dalam permohonan ex-parte berkenaan, AGC memaklumkan bahawa notis tunjuk sebab telah diserahkan kepada Shafie pada 23 September, manakala kepada Mona Din pada 10 September lalu.
Mohamad Mustaffa berkata, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan sudah memberikan maklum balas rasmi melalui sepucuk surat peguamnya, Tetuan Tommy Thomas, bertarikh 29 September.
"Dikemukakan bahawa walaupun responden memberikan surat jawapan tersebut dan tidak menafikan kenyataan yang terkandung dalam hantaran berkenaan, beliau gagal memberikan penjelasan yang memuaskan sebagai respon kepada notis tunjuk sebab di bawah Kaedah 52 Peraturan 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 yang diserahkan kepadanya," katanya dipetik Harian Metro.
Tambahnya, kenyataan Shafie di Facebook atas nama ‘Shafie Apdal’ boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.
Sementara itu, Mona Din dalam akuan berkanun bertarikh 19 September mengemukakan permohonan maaf, namun pihak pendakwaan menegaskan tindakan itu tidak mengecualikannya daripada dakwaan menghina mahkamah.
"Dengan hormatnya kami kemukakan bahawa pada 4 September, dalam satu hantaran di Facebook atas nama 'Mona Din', responden menyiarkan kenyataan yang juga penghinaan terhadap mahkamah berkaitan prosiding inkues," jelas Mohamad Mustaffa.
Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan selepas penyerahan saman kepada kedua-dua responden selesai.









Comments