Naib Presiden KEADILAN, Dr Michael Teo menyifatkan proses vaksinasi boleh diselesaikan dalam tempoh empat bulan.
Beliau berkata, proses vaksinasi negara yang mencatatkan lebih 2 juta dos suntikan, dengan hanya 25,000 dos setiap hari terlalu perlahan.
Namun, katanya, proses itu boleh dipercepatkan dengan beberapa langkah tertentu bagi mencapai imuniti kelompok.
"Dalam tempoh 4 bulan, kita perlu suntik 11 juta vaksin sebulan, ini bersamaan dengan 366,000 sehari untuk capai 44 juta dos vaksin.
"Ini 15 kali lebih cepat dari sekarang, berbanding apa yang dijanjikan kerajaan iaitu 75,000 dos hanya tiga kali lebih cepat," katanya.
Pada sama sama, Dr Teo berkata sebanyak 1,600 klinik diperlukan dan setiap klinik perlu suntik 90 kali sehari, bagi membolehkan 144,000 suntikan dos setiap hari.
"Kita juga perlukan 40 pusat pemberian vaksin, setiap daripadanya perlu berikan 5,000 dos sehari, itu akan menjadi 200,000 dos sehari, jadi barulah kita boleh dapat 366,000 dos vaksin sehari.
"Tetapi kerajaan hanya bagi 12 dos kepada 2,000 klinik berdaftar, ini 7 kali lagi sikit dari sasaran dan hanya 200 dos sehari kepada hospital, ia sepatutnya 5,000 dos sehari baru boleh capai sasaran," katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan mencari punca kenapa ramai masih belum mendapat vaksin.
"Banyak aduan dari Mysejahtera, ia boleh daftar orang tapi tidak boleh buat temu janji untuk vaksin.
"Aplikasi ini juga hanya suruh orang datang minggu depan atau 10 hari kemudian, itu tidak akan percepatkan vaksin," katanya.
Comments