Proses peralihan kuasa ikut Perlembagaan, berjalan dengan baik - GRM



Gabungan Reformis Malaysia (GRM) berharap proses peralihan kuasa di Malaysia berlaku dengan baik selepas Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong (DYMM YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.


Menurut koordinator GRM, Mustaffa Kamil Ayub, rakyat perlu memberi ruang kepada Agong seluas-luasnya bagi membuat pertimbangan yang wajar dalam proses yang sedang berjalan tersebut.


"GRM menjunjung kasih atas perkenan ke Bawah DYMM Tuanku menerima mengadap Datuk Seri Anwar pada 13 Oktober 2020. GRM berkeyakinan DYMM Tuanku akan membuat pertimbangan yang bijaksana dengan dokumen dan bukti yang telah diserahkan oleh Anwar, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia bahawa beliau mempunyai majoriti yang kukuh sebagai Perdana Menteri ke 9.


"GRM berpandangan dengan sesi mengadap serta penyerahan dokumen sokongan itu menandakan proses peralihan kuasa mengikut lunas Perlembagaan telah pun bermula dengan lancar dan baik.


"GRM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersabar dengan proses yang ada, termasuklah langkah DYMM YDPA memanggil ketua-ketua parti dalam tempoh terdekat, meneliti semua dokumen serta budi bicara DYMM YDPA," katanya dalam satu kenyataan.


Di samping itu, GRM turut menyeru agar penyokong Pakatan Harapan dan rakyat Malaysia yang cintakan keadilan agar meneruskan solat hajat dan berdoa supaya kemelut politik sepanjang 3 minggu itu dapat diselesaikan secepat mungkin.


"GRM menyeru seluruh rakyat terus bertenang, memperbanyakkan doa dan solat hajat agar Allah swt menganugerahkan keselamatan dan kesihatan Kebawah DYMM Tuanku.


"GRM juga secara khusus meminta para reformis menjunjung tinggi institusi Raja Berpelembagaan serta menghayati semangat baharu 'Reformis sedia berkhidmat, Reformis terus berjasa'," katanya lagi.


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio