Proses pengukuran, pemberimilikan NCR disaran Nurul Izzah disambut baik
- Suara Keadilan
- Jun 29
- 2 min read

Saranan untuk proses pengukuran serta pemberimilikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak dipercepatkan sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar disambut baik oleh Orang Asal Sarawak.
Menurut Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man (gambar), kenyataan Nurul Izzah itu mencerminkan keprihatinan mendalam pemimpin KEADILAN terhadap nadi kehidupan rakyat Sarawak.
"KEADILAN konsisten dalam memperjuangkan hak NCR sejak era Reformasi lagi. Para aktivis, pimpinan parti, dan pejuang akar umbi, telah berjuang sekian lama mempertahankan tanah pusaka nenek moyang masyarakat di Sarawak.
"Kenyataan Saudari Nurul Izzah ialah kesinambungan tekad tersebut serta peringatan kepada kami agar tidak lalai meninggalkan amanah yang sudah disemai oleh para pendahulu kita," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naib Ketua AMK itu, KEADILAN turut menghargai penjelasan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman bahawa lebih 1.2 juta hektar tanah NCR telah diukur secara perimeter dari Oktober 2010 hingga Mei 2025.
Kenyataan Saudari Nurul Izzah, katanya, harus dilihat sebagai dorongan untuk memperkukuh lagi usaha berkenaan khususnya dalam fasa pemberimilikan lot individu yang lebih rumit tetapi amat penting untuk masyarakat peribumi yang memerlukan jaminan pemilikan sah ke atas tanah warisan mereka.
"Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM282 juta sejak 2010 untuk tujuan pengukuran tanah NCR, dan komitmen tersebut diteruskan menerusi peruntukan RM15 juta bagi tahun 2025.
"Dana ini perlu diteruskan malah ditambah mengikut keperluan lapangan agar proses pengukuran dapat disempurnakan secepat yang mungkin," ujarnya.
Beliau berpendapat, program ukur dan pemberimilikan itu membuktikan pentingnya wujud kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Apabila Persekutuan menyediakan sumber kewangan dan teknikal, negeri boleh segera melaksanakan pengukuran serta pengeluaran geran. Maka tanah warisan masyarakat peribumi bukan sekadar dilindungi daripada pencerobohan, kata Choon Man, tetapi dapat menjadi aset ekonomi sah dan berdaftar.
"Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak, sama ada agensi Persekutuan, Negeri dan seluruh masyarakat untuk menyambut seruan Saudari Nurul Izzah dengan hati terbuka.
"Marilah kita bergerak secara kolektif bagi memastikan tiada sesiapa pun yang ketinggalan dalam arus pembangunan di bumi kenyalang yang kita cintai ini.
"Inilah manifestasi politik nilai yang KEADILAN perjuangkan iaitu mendahulukan keadilan sosial, memelihara warisan budaya dan menjamin masa depan ekonomi bagi seluruh masyarakat di Sarawak," katanya.
Justeru, katanya, KEADILAN Sarawak akan kekal komited menjadi jambatan kukuh antara rakyat Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.
"Selagi mana perjuangan ini terus menyala, selagi itu kami akan berdiri teguh bersama masyarakat di Sarawak. Pastinya semangat agi idup, agi ngelaban akan terus dipegang demi memastikan tanah nenek moyang kekal milik sah, dan demi membina masa depan yang lebih adil, makmur dan inklusif untuk semua," kata Ketua Cabang KEADILAN Miri itu lagi.
Kelmarin dalam tulisan mengingati pemergian pejuang hak NCR, Dennis Along, Timbalan Presiden KEADILAN menyarankan agar pengukuran serta pemberimilikan NCR dipercepatkan supaya penduduk Orang Asal mempunyai hak sah di negeri itu.
Comments