top of page

Proses pemutihan PPR: Pastikan rumah rakyat tidak disalahgunakan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 21
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Golongan B40 yang benar-benar layak tidak akan terjejas dengan pelaksanaan proses pemutihan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang sedang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) memberi jaminan tersebut bagi meredakan keresahan yang timbul berhubung notis pengosongan rumah PPR yang tular sejak beberapa hari lalu.


"Kerajaan MADANI mewarisi cabaran besar dalam memastikan kemudahan PPR diurus dengan berani, agar inisiatif perumahan rakyat ini bersifat adil, berintegriti dan benar-benar menyantuni golongan yang memerlukan.


"Proses pemutihan dijalankan bagi memastikan penyewa mendiami unit tersebut benar-benar mematuhi syarat-syarat ditetapkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Antara syarat penyewaan ditetapkan DBKL ialah warganegara berkahwin atau berstatus janda, duda, ibu/bapa tunggal; pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 (kos rendah) dan RM4,000 (kos sederhana); tidak memiliki rumah atau tanah dalam lingkungan 35 kilometer dari pusat bandar; tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur serta berdaftar dengan DBKL.


Sementara itu menurut Dr Zaliha, daripada 3,379 penyewa yang disemak, seramai 3,031 (89.7%) kekal layak, manakala 348 penyewa (10.3%) gagal disambung kontrak kerana melanggar syarat.


Antara sebab ketidaklayakan termasuk tunggakan sewa tinggi, pendapatan melebihi syarat, memiliki rumah lain dalam lingkungan 35km dari Kuala Lumpur, pasangan bukan warganegara, serta tidak lagi menetap di unit PPR (menyewakan semula atau membiarkan kosong).


"Bagaimanapun, DBKL menyediakan mekanisme rayuan dalam tempoh 30 hari bagi penyewa terkesan. Untuk kes tunggakan sewa, DBKL juga sedia berunding dengan menetapkan kadar dan jadual pembayaran ansuran.


"Penyewa hanya perlu membuat akujanji mematuhi jadual pembayaran bagi membolehkan mereka terus menetap di rumah PPR," jelasnya.


Dr Zaliha turut menegaskan, unit-unit kosong hasil proses pemutihan akan diagihkan semula kepada pemohon yang lebih memerlukan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page