top of page

Propaganda Raja Petra: Ada hadnya percaya benda bodoh, diperbodohkan

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jan 7, 2024
3 min read


Propaganda terbaharu bloger Raja Petra Kamarudin kononnya pembangkang PN telah pun mendapat sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk PN membentuk kerajaan tidak perlu dilayan.


Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, rakyat tidak seharusnya percaya dan diperbodohkan berulang kali selepas banyak tarikh pertukaran kerajaan sepanjang 2023 sebelum ini tidak menjadi kenyataan.


Menurutnya, propaganda terbaharu ini sengaja dibuat oleh bloger dan Tiktoker untuk mendapatkan bayaran.


Realitinya, kata Lokman, tiada perubahan kerajaan boleh berlaku sekiranya 120 Ahli Parlimen berubah sokongan melainkan dilakukan di Dewan Rakyat melalui Undi Tidak Percaya.


"Saya nak beri pesanan kepada kawan kawan yang beri mesej, WhatsApp, kita dah beritahu banyak kali jangan dilayan Raja Petra punya gila, jangan dilayan kegilaan Papagomo, CheguBard, Tun Faisal, Salim Parpukari.


"Saya nak beritahu sekali sekala kita diperbodohkan, ok. Tetapi kalau kita diperbodohkan berulang kali, maknanya bukan Raja Petra yang tak betul, bukan Papagomo tak betul, korang yang tak betul


"Kalu nak percaya benda tahyul pun kena ada had. Sampai bila kita nak berulang kali diperbodohkan oleh puak yang kerja mereka mengambil kesempatan sekiranya ada perbalahan antara PN dan BN, antara PN dan PH. Selagi ada usaha menggoyangkan kerajaan, selagi itu mereka dibayar


"Kita dah diperbodohkan sebelum ini kalau menang pilihanraya 6 negeri mereka tukar kerajaan. Tak berlaku pun. Kalau menang di Pilihan Raya Kecil Pulai, Simpang Jeram, Pelangai akan berlaku pertukaran. Bila diorang menang (Kemaman pun), tak juga berlaku pertukaran.


"Kemudian 1 Januari 2024 akan tukar kerajan, tak berlaku. Kemudian kata 18 Januari tukar kerajaan. Parlimen pun tak ada pada 18, 26 Januari baru bersidang," katanya dalam siaran langsung Facebook, malam tadi.


Lokman dalam pada itu menempelak sikap Raja Petra yang mengumumkan PN telah mempunyai jumlah yang cukup dan penyokong PN di Malaysia sibuk mengetengahkan nama Perdana Menteri (PM) baharu termasuklah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Mohamad Hassan (Tok Mat).


"Saya dah tanya Tok Mat dia tak terlibat.


"Kalau berlaku pun pakai lah otak. Tuanku (Agong) hari ni tak sampai 25 hari lagi untuk baginda berangkat kembali ke Pahang dan turun takhta sebagai Agong.


"Tuanku sangat teliti, setiap keputusan besar baginda akan bertanya Majlis Raja raja. Hari ini Majlis Raja raja lebih separuh telah memberikan sokongan kepada Tuanku Sultan Ibrahim, Sultan Johor. Kita pun tahu pendirian Sultan Johor.


"Dia mahu diberikan peluang kepada Datuk Seri Anwar memerintah, jangan ganggu gugat. Tak kan tak faham bahasa," katanya.


Tegas Lokman, Yang di-Pertuan Agong melalui titah diraja telah pun menyatakan biarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM terakhir dalam tempoh tugas baginda, setelah 3 PM sebelumnya bertukar ganti.


Katanya, tidak mungkin Agong akan bertukar fikiran dalam tempoh 25 hari berbaki menjalan tugas sebagai Agong sebelum digantikan oleh Sultan Johor.


Hakikatnya, kata Lokman, tiada mana mana Agong akan mengambil risiko membenarkan kerajaan majoriti 2/3 yang dimiliki Anwar hari ini, telah diyakini oleh pelabur asing, ditukar kepada kerajaan majoriti tipis 115 Ahli Parlimen dan Malaysia berputar kembali ke era 2020 - 2022, pelabur lari dan rakyat terkapai kapai tidak mempunyai peluang pekerjaan.


Justeru, Lokman mahu rakyat bertegas dan letakkan had akhir bagi mempercayai perkara karut marut pertukaran kerajaan.


Katanya, pembangkang telah menetapkan tarikh 18 Januari sebagai detik diangkatnya PM baharu, maka rakyat perlu bertekad akan akan tidak lagi percaya propaganda pembangkang sekiranya pertukaran kerajaan tidak berlaku selepas detik itu.


"Letaklah time limit. 18 Jan ini pasang niat siap siap: Sahaja aku nak berhenti jadi orang bodoh kerana Allah Taala. Jadi kalau tak berlaku pertukaran kerajaan sampai 18 Jan ini, minta tolong berhenti tengok cerita gila dan mengarut.


"Sampah masyarakat ini jangan tonton lagi. Kalau tak cukup ilmu akan terkeliru," katanya.

Tambah Lokman, di bawah undang undang anti lompat parti, mahu membentuk kerajaan baharu perlukan persetujuan ketua ketua parti.


Bagi UMNO, katanya, Presiden Datuk Seri Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar sebagai PM sehingga selesai penggal dan hal itu tidak akan berubah.

1 Comment


Mohd paudzi Abdullah
Mohd paudzi Abdullah
Jan 07, 2024

Analisa dan komen yang baik, tepat

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page