Propaganda asing gugat kestabilan negara, jangan terpedaya naratif fitnah
- Hasbul Ahmad

- 2 days ago
- 3 min read

Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan propaganda asing yang cuba menggambarkan negara ini sebagai tidak stabil dan sarat dengan rasuah, terutama melalui naratif tertentu yang disebarkan oleh media antarabangsa seperti Bloomberg.
Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Johor, Dr Tamil Selvi Rajoo berkata, kebelakangan ini wujud usaha sistematik untuk membentuk persepsi negatif terhadap Malaysia, termasuk dengan memainkan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bagi mencetuskan keraguan terhadap institusi negara.
"Setiap rakyat perlu waspada kerana dalam dunia geopolitik hari ini terdapat pelbagai propaganda dan perang persepsi yang dimainkan. Ia sering digunakan untuk menggugat kestabilan negara.
"Rakyat perlu matang dan bijak menilai setiap maklumat yang diterima, khususnya daripada media sosial atau laporan tertentu yang tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar di Malaysia.

"Apabila kita menerima sesuatu maklumat atau naratif, kita perlu menilai sama ada ia benar, telus dan boleh dipercayai. Kita juga perlu memahami siapa yang menyampaikan maklumat tersebut dan apakah motif di sebaliknya," kata Dr Tamil Selvi Rajoo kepada Suara Keadilan.
Bloomberg sebelum ini menerbitkan artikel yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Susulan itu, Azam Baki telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta, berhubung laporan yang didakwa menjejaskan reputasinya.
Justeru itu Dr Tamil Selvi Rajoo menegaskan bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil pelbagai langkah dan strategi bagi membanteras rasuah sejak mengambil alih pentadbiran negara.
Menurutnya, usaha membanteras rasuah kini dilihat lebih tersusun dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.
"Bagi isu rasuah ini, kita tahu sejak PMX mengambil dan menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, pelbagai agenda serta strategi telah diambil untuk membanteras isu rasuah.
"Jika dibandingkan dengan penggal-penggal sebelum ini di bawah Perdana Menteri yang lain, perkara ini kini jelas dapat dilihat apabila isu rasuah semakin diutarakan dan diberi perhatian, di samping langkah serta strategi yang sewajarnya turut diambil untuk menanganinya," ujarnya lanjut.
Terdahulu pada Februari tahun ini, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dilaporkan bertambah baik, meningkat daripada tempat ke-57 pada 2024 ke tempat ke-54 tahun lepas, mencerminkan kemajuan berterusan dalam tadbir urus dan usaha membanteras rasuah.
Berdasarkan CPI 2025 dikeluarkan Transparency International (TI), Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei, mengekalkan kedudukan relatifnya di Asia Tenggara sambil mengatasi beberapa negara serantau.
Skor Malaysia tahun lepas itu juga meningkat kepada 52 mata, berbanding 50 dalam penilaian 2024, menunjukkan trend menaik yang sederhana tetapi menggalakkan.
TI, sebuah gabungan global menentang rasuah memaklumkan CPI 2025 adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 182 negara pada skala daripada sifar (dianggap paling rasuah) ke 100 (paling bersih).
Mengulas lanjut Dr Tamil Selvi Rajoo berkata, Malaysia berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, ketelusan serta kebebasan media yang dijamin dalam sistem demokrasi negara.
Namun, katanya, kebebasan media tidak seharusnya dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk menyebarkan naratif yang boleh menjejaskan kestabilan negara atau merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi.
"Rakyat tidak seharusnya mudah mempercayai dakwaan bahawa Malaysia tidak stabil hanya berdasarkan naratif yang disebarkan oleh pihak tertentu.
"Sebaliknya, rakyat perlu menilai maklumat secara kritikal dan mendapatkan sumber berita yang sahih sebelum membuat sebarang kesimpulan.
"Kita tidak boleh mudah menjadi alat kepada propaganda asing yang bertujuan memecah-belahkan masyarakat," ujarnya lagi.




Comments