top of page

Proklamasi turunkan takhta tidak sah, Tuanku Muhriz kekal Yang Dipertuan Besar N. Sembilan - DKU

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
2 hours ago
4 min read

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah di sisi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.


Setiausahanya Raja Norazli Raja Nordin berkata perkara itu antara lain berpunca daripada tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak memegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing pada tarikh tersebut.


Beliau berkata, Perkara X(1) UUTKNS 1959 menetapkan Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan Yang di-Pertuan Besar selepas siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.


"Syarat itu adalah mandatori namun tiada siasatan sedemikian yang pernah dilaksanakan, tiada yang pernah dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia tidak pernah diberi notis atau peluang untuk didengar.


"Justeru, proklamasi bertarikh 19 April 2026 itu adalah cacat sejak awal," katanya dalam kenyataan hari ini.


Raja Norazli berkata Menteri Besar yang memegang jawatan ketika itu juga enggan menandatangani proklamasi berkenaan di bawah Perkara X(2) UUTKNS 1959 atas alasan syarat Perkara X tidak dipenuhi dan salah seorang penandatangannya bukan seorang Undang.


"Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara X(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal," katanya.


Menurut beliau, kecacatan berkenaan tidak boleh dipulihkan kerana tiada sebarang siasatan kemudiannya diadakan bagi memenuhi tuntutan Perkara X UUTKNS 1959.


"Satu-satunya perkara yang didakwa berlaku ialah seorang Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi yang sama.


"Perbuatan itu tidak memulihkan apa-apa. Seorang Menteri Besar yang baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang telah pun dilaksanakan.


"Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan," katanya.


Raja Norazli berkata, pengumuman melalui kenyataan media pada 5 September lalu serta sidang akhbar pada 8 September juga tidak mempunyai apa-apa kesan kerana bersandar sepenuhnya kepada proklamasi 19 April yang didakwa cacat dan telah luput, selain surat cara bertarikh 3 Ogos 2026 yang tidak menambah apa-apa kepada keabsahan proklamasi tersebut.


"Kedudukan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah kekal.


"Tiada proses yang sah pernah menyebabkan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir terhenti memegang jawatan itu.


"Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan," tegasnya.


Dalam hal ini, Raja Norazli berkata DKU tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana individu lain sebagai memegang jawatan berkenaan.


"Tidak boleh ada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah.


"Seseorang yang tidak memegang jawatan tidak boleh menjalankan kuasa jawatan itu.


"Apa-apa yang dilakukan atas nama jawatan yang tidak dipegang tidak mempunyai kesan di sisi adat," jelas beliau.


Beliau berkata, Undang Luak Sungei Ujong pada masa ini disandang Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Muhammed Abdullah.


Jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong pula, katanya, adalah kosong.


Raja Norazli berkata tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September lalu dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang.


"Ini kerana empat daripada mereka tidak memegang jawatan berkenaan, menandatangani surat cara penurunan Yang di-Pertuan Besar tanpa siasatan menurut Perkara X(1) UUTKNS 1959, menyalahgunakan gelaran jawatan dan mengeluarkan arahan tidak sah kepada pegawai kerajaan," katanya.


Sehubungan itu, DKU memutuskan supaya laporan polis dibuat berhubung tindakan enam individu yang didakwa terbabit dalam pengeluaran dokumen bertujuan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan daripada takhta.


DKU turut memutuskan tiada pegawai kerajaan boleh bertindak berdasarkan sebarang arahan yang bersandarkan dokumen berkenaan.


Sebaliknya, Kerajaan Negeri dan setiap pegawai negeri hendaklah terus mengiktiraf Duli Yang Maha Mulia sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta berurusan dengan Baginda dalam kapasiti tersebut.


Setiausaha DKU turut diarahkan menyampaikan keputusan Dewan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri bagi membolehkan langkah sewajarnya diambil untuk melaksanakan keputusan itu.


DKU berkata laporan polis itu adalah aduan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung perbuatan enam individu terbabit.


"Menandatangani surat cara yang bertujuan menurunkan Yang di-Pertuan Besar sedangkan syarat Perkara X(1) UUTKNS 1959 belum dipenuhi, menggunakan gelaran jawatan yang tidak dipegang dan mengeluarkan arahan kepada pegawai Kerajaan Negeri atas nama kuasa yang tidak dipegang secara sah, kesemuanya dianggap derhaka di sisi adat dan undang-undang," menurut DKU.


Mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pendamai oleh Kerajaan Negeri, DKU merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan kerajaan terhadap keharmonian negeri.


Bagaimanapun, Dewan berpandangan persoalan berkaitan adat Melayu di mana-mana bahagian Negeri Sembilan telah diperuntukkan kepada DKU di bawah Perkara XVI UUTKNS 1959.


Sehubungan itu, DKU menegaskan fungsi berkenaan tidak boleh diwakilkan, dikongsi atau dikemukakan untuk tujuan pendamaian.


"Dewan berpandangan tiada kewajaran penubuhan Jawatankuasa tersebut jika bidang kuasa jawatankuasa itu merangkumi soal adat," katanya.


DKU berkata pihaknya akan mendapatkan klarifikasi rasmi daripada Kerajaan Negeri berhubung terma rujukan Jawatankuasa Pendamai yang dicadangkan itu.


Dalam pada itu, DKU menyarankan semua pihak supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas mengenai institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang.


"Institusi adat Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti atau individu. Ia amanah yang dipegang untuk semua anak buah dan waris," kata DKU lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page