Projek WCE: Dr Gunaraj mohon lanjut tempoh kosongkan Lot 11113, Kampung Jawa
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George memohon lanjutan tempoh pengosongan Lot 11113, Kampung Jawa, Klang sehingga hujung bulan ini bagi memberi ruang kepada penduduk terbabit menyelesaikan proses perpindahan ke kediaman baharu di bawah program SmartSewa Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau berkata, permohonan itu dibuat selepas notis pengosongan tujuh hari yang dikeluarkan pada 3 November lalu dijadualkan berkuat kuasa minggu ini.
"Saya telah memohon lanjutan tempoh sehingga akhir bulan ini, memandangkan sebahagian daripada penduduk sedang menerima bantuan untuk berpindah ke program perumahan SmartSewa oleh Kerajaan Negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Gunaraj, sebahagian besar penduduk yang terlibat termasuk warga emas dan golongan berusia, justeru memerlukan masa tambahan untuk menguruskan proses pemindahan barangan ke pangsapuri baharu mereka.
"Saya memohon pertimbangan pihak Datuk Menteri Besar untuk meluluskan lanjutan tempoh tersebut memandangkan penduduk perlu memindahkan semua barangan mereka ke pangsapuri baharu," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas keprihatinan dan inisiatif menyediakan kediaman selesa untuk golongan yang memerlukan.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Menteri Besar Selangor kerana menyediakan rumah kediaman yang selesa untuk golongan yang amat memerlukannya, serta atas pertimbangan terhadap permohonan ini," katanya.
Dr Gunaraj yang juga Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya komited memastikan semua penduduk yang terlibat mendapat tempat tinggal baharu dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kebajikan mereka.
Sebelum ini, isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang berlarutan apabila 19 penduduk dilaporkan masih enggan berpindah walaupun sebahagian besar proses pengambilan tanah telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.
Semua penduduk terbabit merupakan antara 52 pemilik tanah di kawasan laluan projek itu dan kebanyakan penduduk telah menerima pampasan daripada kerajaan negeri serta syarikat konsesi WCE.





