Projek tebatan banjir bernilai RM600 juta yang akan dipercepatkan pembinaannya di daerah Segamat, Johor dijangka akan mengakhiri tragedi banjir di kawasan parlimen Segamat dan Sekijang pada masa hadapan.
Ahli Parlimen Sekijang, Dr Zaliha Mustafa menyambut baik projek berkenaan sebagaimana diumumkan oleh Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan beliau ke atas mangsa banjir di PPS Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, Sekijang pada 5 Mac lalu.
Kata Zaliha, Parlimen Sekijang sebagai salah satu Parlimen di dalam daerah Segamat pasti akan mendapat manfaat besar daripada projek tersebut.
"Sekijang merupakan kawasan yang sering dilanda banjir berikutan kedudukan geografinya yang terletak pada pertemuan beberapa buah sungai termasuk Sungai Segamat, Sungai Kenawar, Sungai Kapeh, Sungai Muar dan beberapa buah sungai kecil yang lain.
"Di samping itu, keadaan jika pelepasan air dari Empangan Bekok terpaksa dilakukan maka paras air yang tinggi dari limpahan hujan yang berterusan menyumbang serta memburukkan lagi situasi banjir di daerah Segamat (tanpa tebatan banjir)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru Menteri Kesihatan itu berkata, beliau dan penduduk Sekijang amat berterima kasih terhadap keprihatinan PM dan mengharapkan projek berkenaan akan dapat mengatasi masalah banjir buat selama lamanya serta mampu meningkatkan nilai hartanah atau pelaburan di kawasan berkenaan.
"Saya dan penduduk Sekijang sudah pastinya berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menanti penuh pengharapan berkenaan projek tebatan banjir ini.
"Saya juga yakin dalam jangkamasa panjang, tebatan yang dibina untuk mengurangkan risiko banjir itu boleh menarik kumpulan pelabur tempatan mahupun pelabur luar, yang akhirnya dapat memberi manfaat serta sumbangan besar dari sudut pemesatan ekonomi kepada penduduk Sekijang khususnya dan daerah Segamat amnya," katanya lagi.
Comments