top of page

Projek Tebatan Banjir Rampayan giat dilaksana tangani banjir Sepanggar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, menyatakan keprihatinannya terhadap penderitaan rakyat yang terkesan akibat banjir di Sepanggar baru-baru ini.


Menerusi satu kenyataan, beliau menyifatkan kejadian banjir yang melanda kawasan itu minggu lalu sebagai antara yang terburuk, sehingga memaksa ramai penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


"Saya amat terkesan serta memahami keluhan dan kemarahan rakyat yang mengalami kerugian ribuan ringgit.


"Setiap kali turun ke lapangan, saya akan berhadapan sendiri dengan pihak bertanggungjawab bagi memastikan projek tebatan banjir ini dapat diselesaikan secara menyeluruh," tegasnya menerusi hantaran di laman sosial.


Dalam kenyataan sama, beliau menegaskan komitmen Kerajaan untuk menangani isu banjir secara tuntas melalui perancangan rapi dan pelaksanaan yang berkesan demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.


Beliau turut memaklumkan bahawa Projek Tebatan Banjir Rampayan kini sedang giat dilaksanakan sebagai langkah penting menangani masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.


"Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir Rampayan Fasa 2 sebagai kesinambungan usaha penyelesaian jangka sederhana dan panjang menjamin kesejahteraan penduduk.


"Projek ini menjadi keutamaan kami di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar. Fokus utama ketika ini adalah memastikan pelaksanaan projek sedia ada berjalan lancar, selain memastikan perancangan susulan benar-benar memberi impak kepada penduduk di kawasan terlibat," jelasnya.


Justeru tambahnya, kerjasama berterusan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak kontraktor diperkukuh bagi meneliti sebarang penambahbaikan yang diperlukan.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page