Projek Siap Tamu Sabah: PM umum RM10 juta peruntukan sempena hari ibu
- Suara Keadilan
- May 12
- 1 min read

Sempena sambutan Hari Ibu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi kerja-kerja menaik taraf kedai dan gerai kecil di seluruh Sabah.
Anwar berkata, peruntukan menerusi Projek Siap Tamu Sabah itu sebagai penghargaan kepada para ibu yang gigih berniaga di tamu-tamu desa agar mereka dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa, terlindung daripada panas dan hujan.
"Saya tidak mahu menjadi perdana menteri yang melupakan kesusahan rakyat.
"Inilah hadiah kita kepada para ibu supaya mereka dapat berniaga dengan lebih baik demi menyara keluarga," katanya dipetik ketika merasmikan penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di Tawau pada Ahad.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri kanan Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu menurut beliau, Kerajaan MADANI berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah daripada aspek kesalinghubungan, teknologi kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta usaha menoktahkan kemiskinan.
Bagi tujuan itu, 144 projek pembangunan termasuk menaik taraf Hospital Tawau, Penjara Lahad Datu dan membina pelabuhan kontena di Sepanggar Bay telah dilaksana di Sabah dengan RM 14 bilion.
Kerajaan juga memperuntukkan lebih RM350 juta untuk Program Solar MADANI, dengan Tawau dipilih sebagai lokasi projek rintis pemasangan lampu solar.
"Kita laksanakan apa yang terbaik untuk rakyat, termasuk menangani masalah kos elektrik, kos tenaga, keperluan sekolah anak-anak, tandas, makmal sains, serta keperluan anggota polis dan tentera seperti perumahan dan pembaikan jalan," tambahnya.
Comments