Projek pembangunan SSMP kukuh ekosistem pendidikan, latihan sukan
- Suara Keadilan
- 30 minutes ago
- 1 min read

Projek pembinaan bangunan dan kemudahan tambahan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) bakal menyediakan persekitaran pembelajaran serta latihan sukan yang lebih kondusif untuk atlet, guru dan seluruh warga sekolah itu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek itu penting bagi memastikan sekolah tersebut terus berada pada landasan cemerlang dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi.
"SSMP hebat dalam sukan ragbi. Saya mengikuti rapat perkembangan pasukan 'Falcons' yang berjaya mengungguli kejohanan berprestij peringkat kebangsaan, Super Schools Rugby 2025 dan yang terkini, muncul juara Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah Bawah 19 Tahun 2026
"SSMP mesti terus melakar kecemerlangan dan melahirkan lebih ramai jaguh sukan yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Fadhlina memaklumkan telah mengadakan lawatan bagi melihat sendiri perkembangan projek tersebut pada Ahad.
Projek tersebut menurutnya merangkumi pembinaan asrama baharu, astaka berbumbung, dewan serba guna terbuka, kuarters kakitangan, padang hoki sintetik, padang latihan dan pelbagai kemudahan lain itu bertujuan menampung keperluan sekolah itu yang semakin berkembang.
"Semoga SSMP terus cemerlang, menyumbang kepada pembangunan sukan negara," tambah Fadhlina menerusi hantaran tersebut.





