Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat beri khidmat nasihat guaman percuma
- Redzuan Shamsudin

- Jun 23, 2023
- 2 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Biro Guaman dan Undang-undang Wanita KEADILAN bersama Biro Guaman AMK Selangor telah melancarkan Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat, semalam.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan AMK Malaysia, Bryan Ng Yih Miin, projek inovatif itu diwujudkan bertujuan untuk menyediakan akses mudah dan percuma kepada khidmat nasihat undang-undang terhadap semua lapisan masyarakat, terutamanya buat golongan kurang berkemampuan.
"Dalam usaha memajukan keadilan, projek ini memfokuskan perhatian kepada isu-isu yang melibatkan keganasan rumahtangga, gangguan seksual di tempat kerja, gangguan seksual kanak-kanak, kes penipuan, serta melindungi hak golongan penghantar makanan," kata Bryan Ng dalam satu kenyataan.
Manakala kepimpinan projek itu, katanya, dipegang oleh individu-individu berpengalaman dan berdedikasi seperti beliau sendiri, Adawiyah Sulaiman (Ketua Biro Guaman Wanita KEADILAN), dan Khairul Naim (Ketua Biro Guaman AMK Selangor).

Maltlamat projek tersebut, jelas Bryan Ng, ialah untuk memastikan semua lapisan masyarakat memperoleh akses mudah kepada khidmat nasihat undang-undang serta memastikan keadilan yang saksama bagi setiap individu.
"Ramai rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dihadapkan dengan pelbagai isu undang-undang, namun seringkali mereka tidak mendapat nasihat guaman disebabkan oleh beberapa faktor, seperti kurang kenalan peguam, kos guaman tidak mampu dibiayai, kurang kesedaran tentang hak-hak dalam isu undang-undang, dan kebimbangan terhadap persepsi orang luar.
"Maka melalui projek ini, pihak urusetia akan merangka program-program yang progresif dan inovatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak-hak mereka.
"Projek ini bertujuan menjadikan bantuan khidmat nasihat guaman lebih mudah diakses dan memberikan bantuan segera kepada mangsa, membantu mereka untuk mengambil langkah pertama dalam menangani isu-isu yang membelenggu kehidupan," katanya.
Pelancaran projek tersebut semalam turut disertai oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadlina Sidek yang juga merupakan Ketua Wanita KEADILAN Malaysia.
Beliau telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM20,00 untuk memacukan Projek Peguam-Bela Rakyat.
"Dengan langkah progresif ini, kami yakin Projek Peguam-Bela Keadilan Rakyat akan membawa perubahan positif kepada masyarakat, menjembatani jurang keadilan dan membantu masyarakat dalam memperoleh hak-hak mereka secara adil dan saksama," kata Bryan Ng lagi.
Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan nasihat guaman ini, mereka bolehlah melayari laman web www.peguambelarakyat.com untuk mengemukakan maklumat dan fakta kes yang berkaitan. Paasukan penasihat guaman yang berpengalaman akan menghubungi mereka dengan segera.




Suara keadilan