top of page

Projek Pasar Raja Bot: DBKL perlu proaktif tingkat kemudahan, utamakan peniaga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 8 minutes ago
  • 2 min read

Kompleks Pasar Raja Bot masih sukar dikunjungi pelanggan tanpa tempat parkir kereta yang sesuai
Kompleks Pasar Raja Bot masih sukar dikunjungi pelanggan tanpa tempat parkir kereta yang sesuai

Projek pembangunan semula Kompleks Pasar Raja Bot di Chow Kit, yang menelan kos pelaburan sebanyak RM177.5 juta perlu dilakukan semakan semula untuk memastikan pasar tersebut mencapai potensi penuh sebagai ruang niaga jualan barangan basah untuk warga Kuala Lumpur.


Bekas Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Andre Lai Chen Heng berkata, meskipun bangunan baharu pasar itu kelihatan moden, pelaksanaannya masih belum berjalan sepenuhnya sebagaimana dirancang dan menjejaskan kelangsungan peniaga tempatan.


"Walaupun kami menghargai lawatan YB Menteri Datuk Seri Dr Zaliha dan Datuk Bandar Datuk Seri Dr Maimunah ke tapak tersebut, saya ingin menyampaikan bahawa isu-isu asas yang menjejaskan fungsi pasar ini masih memerlukan penyelesaian yang berkesan.


"Kesulitan di Kompleks Pasar Raja Bot ini bukan sekadar isu penangguhan, tetapi berkaitan dengan kesempurnaan perancangan dan koordinasi di dalam DBKL," katanya dalam kenyataan.


Andre Lai Chen Heng
Andre Lai Chen Heng

Menurut Andre Lai, hasil tinjauan berulang beliau semasa memegang jawatan di DBKL mendapati banyak peniaga menghadapi kemerosotan pendapatan yang ketara — ada yang memperoleh kurang daripada RM100 sehari — disebabkan kurangnya pelanggan di gerai tingkat atas serta cabaran operasi yang belum diselesaikan.


"Saya berterima kasih atas kelulusan Datuk Bandar untuk pengecualian sewa selama enam bulan, tetapi masalah pasar ini masih wujud selagi kompleks baharu tidak dapat disempurnakan," ujarnya.


Antara punca utama yang dikenal pasti, kata beliau, termasuk penangguhan pembinaan tempat letak kereta bertingkat (Fasa Empat), walaupun bangunan pasar bertingkat (Fasa Dua) telah disiapkan terlebih dahulu. Kekurangan akses kenderaan yang lancar dikatakan menghalang pelanggan daripada berkunjung, sementara kadar sewa yang tinggi sehingga RM900 sebulan menambah tekanan kepada peniaga.


Selain itu, Andre Lai turut menegur kurangnya koordinasi antara jabatan dalam DBKL, yang menyebabkan perancangan dan pelaksanaan projek berjalan tanpa penyelarasan menyeluruh.


Beliau juga menyentuh masalah operasi termasuk hud masakan yang tidak berfungsi, laluan penghantaran barang yang sempit, isu bilik sejuk, bekalan air tidak stabil, serta kelewatan pelaksanaan Fasa 3 dan 4 yang dijadualkan siap pada 2025.


"Cabaran operasi ini menunjukkan perlunya koordinasi yang lebih baik di dalam DBKL. Nampaknya terdapat kekurangan penyelarasan antara jabatan; satu jabatan (Pelaksanaan Projek) menyerahkan bangunan, sementara jabatan lain (Perlesenan) mengarahkan perpindahan dan pembayaran sewa tanpa penilaian kesediaan yang bersepadu," ujarnya.


Sebagai langkah pembetulan, Andre Lai mengesyorkan beberapa tindakan segera seperti:


Memperluas pengecualian sewa sehingga tempat letak kereta bertingkat siap dan beroperasi sepenuhnya.


Mempercepatkan jadual pembinaan bagi fasa-fasa yang tertangguh serta menyelesaikan isu operasi sedia ada.


Mengurangkan kerenah birokrasi dan bertindak proaktif terhadap keperluan peniaga.


"Pasar Chow Kit adalah sebahagian daripada warisan bandar kita, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan nadi perdagangan ini terus hidup


"Kita berharap pelaburan besar ini dapat mencapai matlamatnya. Memandangkan ramai penjawat awam DBKL telah bertukar, kita perlu mencari jalan untuk memastikan akauntabiliti dan penyelesaian yang tuntas," katanya lagi.


Beliau dalam pada itu turut menyeru DBKL memastikan akauntabiliti dan tindakan tuntas dalam memastikan pelaburan awam bernilai ratusan juta ringgit benar-benar membawa manfaat kepada komuniti setempat.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page