top of page

Mesyuarat MTEN: Asas ekonomi kekal kukuh, kebajikan rakyat diutamakan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 1 min read
DS Anwar mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya hari ini
DS Anwar mempengerusikan mesyuarat MTEN di Putrajaya hari ini

Asas ekonomi negara ini kekal kukuh dan berdaya tahan di tengah cabaran keadaan tidak menentu susulan krisis tenaga global yang kian meruncing akibat konflik di Asia Barat, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri bagaimanapun, mengingatkan Malaysia tidak terkecuali daripada terkena tempias krisis tersebut yang memberikan implikasi kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


"Hakikatnya, dunia sedang memasuki fasa lebih mencabar dan tidak menentu dengan Malaysia tidak terkecuali daripada (terkena) tempiasnya.


"Kita mesti bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi.


"Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan," kata beliau dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi meneliti secara mendalam perkembangan krisis tenaga global yang kian meruncing serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa.


Jelasnya perkara itu termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana bagi memastikan langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan.


Dalam masa sama, beliau mengajak seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan.


"...sokonglah usahawan kita kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat," seru beliau.


Anwar berkata setiap keputusan kerajaan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.


"Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page