top of page

Akta Pekerja Gig dimantapkan dengan Majlis Perundingan Gig - Ramanan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Mar 31
  • 2 min read
DS Ramanan dalam sidang media Akta Pekerja Gig 2025 di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
DS Ramanan dalam sidang media Akta Pekerja Gig 2025 di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Kerajaan menegaskan komitmen memperkukuh kerangka perundangan sektor ekonomi gig menerusi pelaksanaan libat urus bersama pemegang taruh dan penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPGig) di bawah Akta 872 bagi meneliti isu berkaitan, termasuk penetapan kadar pendapatan minimum dan standard perlindungan pekerja.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, antara perkara utama yang terdapat di bawah Akta 872 adalah berkaitan penubuhan MPGig yang merupakan platform triparti antara wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.


"Majlis ini berperanan untuk menasihati dan membuat syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai berdasarkan sektor, kawasan wilayah, jenis pekerja gig atau perkhidmatan.


"MPGig juga akan berfungsi sebagai platform dialog, rundingan dan khidmat nasihat berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig yang melibatkan pemegang taruh berkaitan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media Akta Pekerja Gig 2025 yang diadakan di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di ibu negara hari ini.


Untuk rekod, Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) secara rasminya mula berkuat kuasa pada hari ini dengan anggaran lebih 1.64 juta individu yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini menerima pelbagai manfaat.


Ia meliputi perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian perkhidmatan, larangan diskriminasi, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, jaminan keselamatan sosial melalui PERKESO serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dan Tribunal Pekerja Gig.


Menjelaskan lebih lanjut, Ramanan berkata, MPGig juga mempunyai kuasa untuk mengumpul, memperincikan data dan maklumat serta menjalankan penyelidikan ke atas perkara berhubung pekerja gig termasuk di peringkat antarabangsa.


Katanya, hasil kajian akan dibincang dan satu keputusan secara konsensus oleh MPGig akan disyor kepada kerajaan untuk pertimbangan dan persetujuan sebelum ianya boleh dikuatkuasakan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page