Projek Mesra Rakyat di Kedah: Kualiti kerja harus diutamakan - Saifuddin
- Suara Keadilan

- Jan 17
- 2 min read

Projek pembangunan negeri, khususnya Projek Mesra Rakyat perlu disempurnakan secara berkualiti agar manfaatnya benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.
Hal itu ditekankan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Lawatan Projek Mesra Rakyat di sekitar Kulim dan Bandar Baharu, yang turut melibatkan penyerahan inden kepada kontraktor-kontraktor terpilih di bawah seliaan Pejabat Pembangunan Negeri (State Development Office, SDO) Kedah.
"Mereka (kontraktor) ini adalah dalam kategori G1, yang melayakkan mereka melaksanakan projek bernilai RM200,000 ke bawah.
"Jadi saya ambil peluang ini untuk sampaikan kepada mereka bahawa peri pentingnya mutu kerja berada pada tahap terbaik, bagi membolehkan hasil akhirnya juga adalah yang terbaik," katanya kepada media selepas majlis penyerahan inden berkenaan.
Menurut beliau, penekanan khusus diberikan terhadap projek baik pulih rumah daif yang memerlukan kualiti pelaksanaan tinggi walaupun dengan peruntukan terhad.
"Dengan nilai projek yang tertentu, mutu kerja yang baik akan memberikan hasil yang memuaskan dan membolehkan penghuninya hidup dengan lebih selesa. Itu penekanan saya."
Saifuddin turut menyatakan keyakinannya terhadap prestasi kontraktor berdasarkan rekod kerja terdahulu, sambil berharap pencapaian positif itu dapat dikekalkan.
Menurut beliau, keseluruhannya terdapat 35 projek kecil pembaikan rumah dengan nilai RM2.3 juta di Daerah Kulim dan Daerah Bandar Baharu. Peruntukan sekitar RM25,000 bagi setiap unit rumah.
Tahun lepas, katanya, peruntukan RM1.8 juta manakala pada tahun ini RM2.3 juta.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan bahawa pemantauan berterusan akan dilakukan oleh SDO sepanjang tahun ini, terutamanya bagi projek-projek berimpak tinggi kepada rakyat.
Sambil tidak menafikan projek utama di negeri itu adalah berkaitan bekalan air bersih yang masih bermasalah di sesetengah tempat.
"Kedah masih berdepan isu bekalan air bersih yang stabil dan konsisten. Itu satu fakta yang tidak boleh dinafikan. Tetapi menyatakan masalah adalah satu perkara, ikhtiar untuk memastikan masalah itu selesai adalah perkara yang lebih penting," katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah berkata, projek loji rawatan air dikenal pasti sebagai antara projek berimpak tinggi yang diberi tumpuan utama.
"Tugasan kami, saya dan pasukan SDO, adalah memastikan pelaksanaannya berjalan dengan baik dan berjaya."
Mengulas isu kelewatan projek, Pengerusi KEADILAN Kedah itu berkata, lanjutan masa masih boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat masalah munasabah. Namun, bagi projek yang dikategorikan sebagai “sakit”, langkah pemulihan akan diutamakan.
"Jika projek jatuh dalam kategori “sakit”, sedaya upaya kita akan minta agensi pelaksana mencari jalan bagi memberi peluang pemulihan.
"Sekiranya langsung tidak boleh diselamatkan, barulah kita lakukan langkah intervensi — bukan untuk menghukum kontraktor, tetapi untuk melindungi kepentingan majoriti, iaitu rakyat," ujarnya.




Comments