Enam beradik yatim piatu rayu MyKad selepas lima tahun menunggu
- Redzuan Shamsudin

- 6 hours ago
- 1 min read

Enam beradik yatim piatu dari Kampung Tangga Batu Pekan, Tanjung Kling, Melaka terus merayu agar penantian mereka untuk memiliki dokumen pengenalan diri mendapat perhatian pihak berkuasa selepas menunggu hampir lima tahun.
Enam beradik terbabit ialah Nul Azizah Rosani, 19; Ahmad Baharom, 18; Azrul, 17; Khalid, 16; Maulidin, 14; dan Siti Khadijah, 12.
Nasib mereka mendapat perhatian Pengerusi Pertubuhan Generasi Madani, Mohd Radzmin Roslan yang tampil membantu bagi merealisasikan harapan mereka untuk mendapatkan MyKad dan MyKid demi masa depan yang lebih terjamin.
Menurut Radzmin, usaha bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri tersebut sebenarnya telah dibuat sejak 2021 melalui bantuan wakil rakyat, namun sehingga kini permohonan itu masih belum berhasil.
"Permohonan MyKad untuk enam beradik ini telah dilakukan sejak tahun 2021, namun sehingga kini mereka masih belum menerima kad pengenalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Pengarah Strategi KEADILAN Melaka berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana dokumen pengenalan diri amat penting bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan termasuk dalam aspek pendidikan dan urusan rasmi.
Sebelum ini media melaporkan keenam-enam beradik tersebut mempunyai sijil kelahiran bertaraf ‘Bukan Warganegara/Belum Ditentukan’, dipercayai berpunca daripada status perkahwinan ibu bapa mereka yang tidak teratur.
Ibu mereka, Milah Nasir yang merupakan rakyat Filipina meninggal dunia pada 2016, diikuti bapa mereka, Rosani Saman, seorang warganegara Malaysia berasal dari Kota Marudu, setahun kemudian.
Sehubungan itu, Radzmin berharap pihak berkuasa dapat memberi perhatian serius terhadap nasib enam beradik tersebut agar isu dokumentasi mereka dapat diselesaikan segera demi menjamin masa depan yang lebih baik.




Comments