Jalan Kg Kenanga DUN Rawang dinaik taraf, tingkat keselamatan pengguna
- Redzuan Shamsudin

- 6 hours ago
- 2 min read

Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat mengadakan lawatan ke Jalan Sekolah 1, Kampung Kenanga, Rawang, Selangor bagi meninjau keadaan jalan yang sebelum ini rosak teruk serta dipenuhi semak samun sehingga menimbulkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Lawatan tersebut turut disertai Ketua Kampung Kenanga, Haji Sukria, serta pegawai daripada Pembangunan Luar Bandar (PLB) Daerah Gombak bagi melihat sendiri hasil kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan.
Menurut Wei Kiat, laluan tersebut merupakan jalan penting yang sering digunakan penduduk setempat, khususnya ibu bapa dan pelajar ke sekolah Cina berhampiran.
“Laluan ini merupakan jalan penting yang sering digunakan oleh penduduk setempat, khususnya ibu bapa dan pelajar yang berulang-alik ke SJK (C) San Yuk Rawang, selain menjadi laluan utama bagi penduduk Kampung Kenanga.
"Sebelum ini, keadaan jalan yang rosak serta bahu jalan yang tidak diselenggara—disebabkan kawasan tersebut merupakan lot persendirian yang tidak dijaga oleh pemilik tanah—telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menjelaskan bahawa masalah tersebut berpunca daripada keadaan bahu jalan yang tidak diselenggara kerana kawasan berkenaan merupakan lot persendirian yang tidak dijaga oleh pemilik tanah.
“Pelbagai aduan telah diterima daripada penduduk setempat dan perkara ini telah dibawa kepada perhatian pihak berkaitan. Melalui Pembangunan Luar Bandar Daerah Gombak, kerja-kerja menaik taraf jalan ini akhirnya dapat dilaksanakan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, satu projek menaik taraf jalan melibatkan kos sebanyak RM130,000 dengan kerja penurapan sepanjang 500 meter telah diluluskan. Kerja-kerja pembaikan bermula pada Oktober 2025 sebelum berjaya disiapkan sepenuhnya pada Disember 2025.
Chua turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
“Saya amat menghargai kerjasama semua pihak yang terlibat. Diharapkan dengan siapnya penurapan jalan ini, ia dapat meningkatkan keselamatan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pengguna jalan raya, khususnya penduduk setempat dan warga sekolah,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus komited memantau serta membawa isu-isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh rakyat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat di kawasan DUN Rawang sentiasa terpelihara.




Comments