Projek Litar Lumba Kedah: Jelaskan sama ada terkait pecah amanah RM40 juta?


Status tanah Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani perlu diperjelaskan oleh Kerajaan Kedah susulan penahanan seorang pengarah syarikat berhubung siasatan dakwaan pecah amanah bernilai RM40 juta, kata Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Naib Presiden AMANAH itu berkata, beliau tidak menuduh mana-mana pihak sebaliknya hanya meminta penjelasan berdasarkan fakta, terutama apabila status tanah yang dikaitkan dengan projek Kerajaan Negeri serta transaksi bernilai puluhan juta ringgit menjadi persoalan.
Ujarnya, rakyat berhak mengetahui siapa pemilik tanah berkenaan, kepada siapa ia dipindahkan dan bagaimana tanah itu akhirnya dimiliki.
"Pada 2022, Kerajaan Kedah pernah memaklumkan bahawa projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani akan dibangunkan di atas tanah milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) seluas kira-kira 60 hektar.
"Maka soalan saya sangat mudah. Adakah tanah yang dijual oleh MBI kepada sebuah syarikat itu merupakan tanah yang sama yang diumumkan sebagai tapak Projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani?
"Jika ya, apakah status tanah tersebut sekarang dan apakah kepentingan Kerajaan Negeri melalui MBI serta syarikat tersebut selepas transaksi itu?
"Jika tidak, apakah tanah sebenar yang menjadi tapak projek litar lumba tersebut?," tanyanya menerusi satu kenyataan.
Mahfuz berkata, permintaan penjelasan itu bukan untuk mendahului siasatan atau menuduh mana-mana pihak, tetapi terdapat beberapa persoalan asas yang wajar dijawab oleh Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Satu lagi persoalan yang timbul kata Mahfuz ialah berkaitan transaksi RM40 juta pada 2024 melibatkan pengambilalihan saham dalam sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan terhadap tanah di Sungai Petani.
"Jumlah RM40 juta itu mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan jumlah yang kini disebut dalam siasatan polis.
"Saya tidak mengatakan kedua-duanya adalah transaksi yang sama, tetapi rakyat berhak mengetahui.
"Adakah RM40 juta yang sedang disiasat polis itu merupakan transaksi RM40 juta yang direkodkan dalam urusan korporat tersebut?
"Kalau semuanya terang, jelaskan. Kalau ada kekeliruan, terangkan. Jangan biarkan rakyat meneka," ujar beliau yang juga mantan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Pada 5 Oktober lalu, media melaporkan seorang pengarah syarikat wanita ditahan selepas disyaki melakukan pecah amanah berjumlah RM40 juta berkaitan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani, Kedah yang terbengkalai.
Suspek berusia 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di ibu negara pada jam 3 petang.
Majistret membenarkan suspek berusia 30-an itu direman sehingga 10 Oktober depan bagi membantu siasatan.




Comments