top of page

Projek ikan patin berpotensi jadi sumber pendapatan baharu - Fakhrul Anuar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 12 minutes ago
  • 1 min read
Fakhrul (tiga dari kiri) bersalam bersama  Roslan Abu Hassan di Pejabat Jabatan Perikanan, Wisma Persekutuan
Fakhrul (tiga dari kiri) bersalam bersama  Roslan Abu Hassan di Pejabat Jabatan Perikanan, Wisma Persekutuan

Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi mengadakan pertemuan rasmi dengan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hassan di Pejabat Jabatan Perikanan, Wisma Persekutuan, Kuantan baru baru ini.


Pertemuan itu memfokuskan perbincangan mengenai potensi pembangunan projek Asuhan Anak Ikan Patin untuk dimajukan kepada pengusaha-pengusaha daripada kalangan komuniti di daerah Kuantan.


Fakhrul Anuar membentangkan idea serta keperluan asas komuniti yang berminat menceburi bidang akuakultur air tawar, khususnya ternakan patin yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran tempatan.


"Projek Asuhan Anak Ikan Patin ini berpotensi jadi sumber pendapatan baharu untuk komuniti Kuantan. Ramai pengusaha kecil berminat tapi perlukan bimbingan teknikal dan sokongan awal," katanya.


Beliau turut memohon Jabatan Perikanan Negeri Pahang bertindak sebagai pemudahcara dalam usaha berkenaan bagi memastikan program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, tersusun dan mengikut garis panduan teknikal yang betul.


Roslan Abu Hassan menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan kesediaan jabatan untuk memberi khidmat nasihat, latihan serta pemindahan teknologi kepada kumpulan sasar komuniti.


Beliau turut menekankan komitmen Jabatan dalam memperkasakan Industri Penternakan Ikan Patin di Negeri Pahang dan berusaha memastikan segala ekosistem industri penternakan ini memberi impak positif yang menyeluruh kepada industri berkenaan.


Projek seumpama ini selari dengan usaha kerajaan negeri memperkasa ekonomi komuniti setempat melalui sektor perikanan dan akuakultur lestari.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page