top of page

Projek bina kapal: Perlu Sidang Khas Parlimen sehari untuk bahas, cari penyelesaian - PH



Kegagalan projek membina kapal peronda tentera laut jenis Littoral Combat Ship (LCS) yang didedahkan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam memerlukan sehari penuh pembahasan di Dewan Rakyat.


Pemimpin utama Pakatan Harapan, Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong yang pernah menjawat Menteri Pertahanan dan Timbalan Menteri Pertahahan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa berkata demikian dalam satu kenyataan.


Menurut mereka, satu Sidang Khas Parlimen perlu diadakan memandangkan sidang kali ini telah pun berakhir semalam.


"Susulan penerbitan Laporan PAC berkenaan perolehan Littoral Combat Ship (LCS), Dewan Rakyat dan Dewan Negara harus dibenarkan sekurang-kurangnya sehari membahas laporan berkenaan dan kerajaan, khususnya Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan, perlu ditugaskan untuk menjawab dalam Parlimen.


"Memandangkan sidang Dewan Rakyat telah berakhir, kami ingin mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, yang merupakan mantan Menteri Pertahanan, untuk bersetuju dengan sidang khas satu hari pada awal bulan September demi mencari penyelesaian kepada isu perolehan LCS.


"Kami juga akan menulis kepada Presiden Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim untuk menarik perhatian beliau supaya memperuntukkan satu hari semasa Dewan Negara bersidang dari 8 sehingga 16 Ogos untuk perbahasan Laporan PAC," kata mereka dalam kenyataan bersama.


Menurut Presiden Amanah dan Timbalan Setiausaha Agung DAP itu perolehan 6 buah kapal LCS yang dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9.128 bilion merupakan perolehan yang paling besar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dan juga salah satu projek yang paling besar Kerajaan Malaysia.


Bagaimanapun, kata mereka, isu yang perlu ditekankan ialah kontrak perolehan LCS itu bermula 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. Namun, sehingga kini tiada sebuah pun kapal yang benar benar telah siap dibina dan menjadikan projek itu seolah olah terbengkalai.


Kata mereka, ketika kerajaan PH memerintah, satu Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang telah ditubuhkan pada Mei 2018 untuk menyiasat projek-projek yang mecurigakan.


"Pada 11 Februari 2020, kurang dua minggu sebelum berlakunya Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH kami berdua bersama Tan Sri Ambrin, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan pegawai-pegawai tinggi Kementerian telah memberi taklimat kepada Perdana Menteri semasa, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


"Keputusan hala tuju telah dicapai pada mesyuarat tersebut tetapi tidak dapat dilaksanakan selepas kerajaan PH tumbang," ujar kenyataan itu.


Oleh itu, Mohamad dan Chin Tong menuntut diadakan Sidang Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi mencari penyelesaian kepada isu perolehan LCS.


Mereka juga mahu cadangan PAC bahawa “Laporan JKSTUPKK berhubung Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), Berkeupayaan Littoral Combatant Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia” dinyahklasifikasikan sepenuhnya.


Bagi menjamin ketelusan, keduanya mencadangkan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS oleh pihak Boustead Naval Shipyard (BNS) dinyahklasifikasikan.


Sebelum ini, pihak BNS telah melantik syarikat audit forensik Alliance IFA pada 2019 bagi menjalankan pengauditan forensik sebagai usaha mengenalpasti sama ada wujudnya ketirisan, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa dalam perolehan LCS.


Begitu juga surat mantan Panglima Tentera Laut yang mengandungi teguran dan rasa tidak puas hati berkenaan kelewatan projek berkenaan perlu dinyahklasifikasikan.

"Kami begitu sedih dan kecewa amaran beliau mengenai masalah yang bakal timbul diketepikan oleh Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," kata Mohamad dan Ching Tong.


Mereka juga mahu Menteri Pertahanan ketika ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membentangkan secara penuh di parlimen mengenai projek berkenaan dan sebarang usaha beliau untuk meneruskan projek tersebut.


"Menteri Pertahanan mengumumkan pada 20 April 2022 projek LCS akan diteruskan tetapi tiada sesiapa, termasuk PAC, dimaklumkan butiran dan kaedah mendapat dana, dan juga jadual masa.


"Hishammuddin dan kerajaan mesti memberi keterangan yang telus dan jelas serta menjaminkan tiada penyelewengan dana yang akan membawa kemudaratan," kata mereka lagi.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page