Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan keraguan terhadap kes berkaitan pegawai tinggi di Jabatan Air Sabah yang mengumpul ratusan juta ringgit di rumah, dan dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa tahun lalu tetapi tidak diketahui pengakhiran kesnya.
Menurut beliau, tidak mungkin tiada penglibatan orang politik dalam kes sebesar itu yang sepatutnya dibongkar oleh SPRM.
"Kes 4 - 5 tahun lalu, Jabatan Air Sabah yang mana diperolehi ratus juta wang tunai sebuah rumah. Sekarang kes ditutup, didenda RM30 juta.
"Kita rasa aneh kalau sudah kumpul ratus juta, siapa yang kumpul? Projek siapa? Dan kenapa (projek) air di Sabah tak selesai sampai sekarang, boleh menghasilkan ratusan juta kepada orang tertentu? Siapa orang politik di atas yang dilindungi? Mengapa dilindungi dan mengapa boleh didenda RM30juta? Kesalahan apa?" tanyanya dalam siaran media petang semalam.
Tegas Anwar, kes air Sabah yang ditemui wang tunai sejumlah RM114.5 juta dan tangkapan dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan itu mesti ditemukan penyudahnya kerana sehingga hari ini tidak diketahui dengan jelas siapa yang bersubahat atau perancang utamanya.
Tambah Anwar lagi, kes kes misteri seperti itulah yang menakutkan pelabur asing untuk datang menanam modal.
Katanya, tidak hairan apabila Malaysia ketika ini semakin ketinggalan berbanding negara jiran dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam sedekad kebelakangan.
Justeru, ujar Anwar, hal itu menekan ekonomi dan menyempitkan peluang pekerjaan rakyat.
"Kemudian ringgit Malaysia merudum. Selalunya kalau ringgit merudum ia terkait dengan keyakinan. Soal pengurus dana negara luar, pelabur tidak mempunyai keyakinan maka ringgit mencatat nilai rendah.
"Termasuk juga pertumbuhan KDNK, FDI. Pelaburan asing ini kalau nak sebut Malaysia hanya RM11 bilion, Indonesia RM31 bilion dan pertumbuhan pendapatan per kapita kita jelas tercorot 0.3%. Ketimbang Indonesia 4.0% dan Vietnam 4.4%. Tidak ada penjelasan sama sekali. Selain menyatakan semua terkawal, ekonomi terkawal," katanya.
Oleh itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap agar rakyat lebih prihatin dengan keadaan dalam negara dan menumbangkan pemerintahan yang lemah serta korup dalam Pilihan Raya Umum ke 15 akan datang.
"Selagi kepimpinan PM tidak menunjukkan ketegasan menjaga institusi ini, membela kepentingan rakyat maka wajar rakyat bangkit lebih berani menolak sistem yang rosak dan bobrok ini," katanya lagi.
Comentarios