top of page

Program ziarah rumah kebajikan di Pandan erat semangat kebersamaan

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 11 minutes ago
  • 1 min read
Ziarah ke rumah kebajikan melibatkan NGO dan sukarelawan memberi sumbangan barangan keperluan
Ziarah ke rumah kebajikan melibatkan NGO dan sukarelawan memberi sumbangan barangan keperluan

Program ziarah ke beberapa rumah kebajikan sekitar Pandan berjaya dilaksanakan dengan penglibatan pelbagai pihak, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.


Antara lokasi terlibat ialah Rumah Kebajikan Anak Yatim Thangam Illam, Rumah OKU Al Hadid Ampang dan Rumah Kebajikan Asnaf Al-Barakh Keramat yang menerima kunjungan serta sumbangan makanan daripada sukarelawan.


Pengarah program, Thashwin Chandra Sekaran berkata, program tersebut memberi makna yang lebih mendalam apabila para peserta berpeluang meluangkan masa bersama penghuni rumah kebajikan.


"Apa yang berlaku malam itu lebih daripada sekadar satu program. Kita datang dengan niat untuk memberi, tetapi apabila berjumpa dan meluangkan masa bersama mereka, kita sendiri yang rasa tersentuh," katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada individu yang terlibat secara langsung termasuk Shahffeq, Woon dan Ifwat yang membantu memastikan kelancaran program.


Kanak kanak disantuni dalam program ziarah rumah kebajikan
Kanak kanak disantuni dalam program ziarah rumah kebajikan

Selain itu, program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Penduduk dan Komuniti (JKP) Zon 18, Zon 17 dan Zon 14, Pasukan Cabang Pandan, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Batalion Anak Muda serta NGO Belia Hayfazufar dan SEJAGAT.


Menurut Thashwin, kehadiran sukarelawan daripada pelbagai latar belakang mencerminkan semangat kebersamaan yang kukuh dalam masyarakat.


"Yang buat program ini bermakna bukan sekadar sumbangan yang diberikan tetapi masa, perhatian dan keikhlasan yang dikongsi bersama mereka.


"Momen-momen kecil, senyuman, perbualan ringkas, itulah yang paling memberi kesan," katanya.


Beliau menambah, usaha seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai pihak.


"Ini bukan tentang siapa kita, tetapi apa yang kita boleh lakukan bersama. Walaupun kecil, jika dilakukan secara kolektif, impaknya boleh menjadi besar," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page