Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan bahawa Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) akan dilaksanakan seawal bulan Julai ini.
Katanya, jangkaan itu dibuat selepas pihaknya telah pun memperoleh bekalan vaksin sebanyak 500,000 dos untuk diberikan kepada 250,000 individu yang layak.
"Kita anggarkan awal Julai ini. Vaksin yang kita peroleh adalah antara Pfizer, Sinovac dan Astrazeneca. Tidak perlu saya dedahkan tetapi ia adalah salah satu daripada vaksin yang telah diluluskan.
"Ia sudah pun mendapat kelulusan NPRA, tidak ada lalu pasaran haram.
"Tetapi kita perlu bentangkan kepada kerajaan persekutuan terlebih dahulu bagi menyeragamkan SCVP ini dengan PICK.
"Yang penting kita dah dapat bekalan vaksin dan ini akan mempercepatkan vaksinasi imuniti kelompok,. Ini usaha bersama oleh kerajaan negeri memandangkan Selangor menjadi tempat perebakan besar wabak Covid-19, " katanya.
Bagaimanapun, katanya, urusan pembelian vaksin bagi majikan syarikat perlu dibincangkan dengan KKM terlebih dahulu.
"Perkara ini perlu dimuktamadkan, ini bukan urusan buat keuntungan tetapi memastikan vaksinasi cepat dan dalam keadaan bersedia untuk hari depan, jadi harga vaksin belum muktamad lagi.
"Kita pun masih menunggu SOP pembelian vaksin untuk syarikat, bagaimana mereka boleh membeli dari kita, dan selepas itu baru kita boleh mulakan.
"Kalau ada lebihan kita akan beri kepada generasi muda berusia 18 tahun, kita juga sedia memberikan kepada petugas media jika kerajaan persekutuan benarkan.
"Kita juga merancang untuk beri vaksin kepada kanak-kanak, sekiranya kajian klinikal meluluskan, maka kita akan mulakan proses vaksinasi kepada golongan ini," katanya.
Comments