Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor dilancar
- Omar Zin
- Jun 9, 2021
- 2 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP).
Katanya, ia sebagai langkah pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi membantu mempercepatkan kadar vaksinasi di seluruh negeri Selangor.
"Alhamdulillah, setelah merancang untuk mendapatkan bekalan vaksin pada hujung tahun 2020 diikuti pengumuman hasrat Kerajaan Negeri bagi tujuan ini pada 11 Januari 2021, Kerajaan Negeri telah memulakan perbincangan seawal 8 Februari lagi.
"Pada 1 Jun lalu, kita memuktamadkan dengan pembekal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membekalkan vaksin secara berfasa di Negeri Selangor yang dijangka bermula pada akhir Jun 2021.
"Antara fokus penerima vaksin selain golongan warga emas dan pekerja industri serta perkilangan juga perkhidmatan, Kerajaan Negeri Selangor juga mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi belum menerima vaksin.
"Melihat kepada data Kementerian Kesihatan Malaysia, 82,341 kanak-kanak telah dijangkiti Covid-19. Daripada jumlah itu, 27,402 berumur antara 13 tahun sehingga 17 tahun dan mereka adalah pesakit kategori 1, 2 dan 3.
"Golongan ini juga akan dimasukkan di dalam kerangka besar SCVP," katanya.
Bagaimanapun, Amirudin menjelaskan pihaknya perlu berbicang terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung pelarasan data-data penerima vaksin agar ianya selari bagi mempercepatkan imuniti kelompok di Selangor sejajar dengan PICK.
"Selangor bersedia untuk melaksanakan enrolmen ini bertujuan untuk meningkatkan tahap perlindungan kesihatan beberapa kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, guru dan sebagainya daripada bahana virus Covid-19.
"Pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di negeri Selangor kerana kita mempunyai jaringan lebih dari seribu klinik-klinik Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) yang bersama kita di bawah program Peduli Sihat yang bersedia melaksanakan program vaksinasi sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV), rumah ke rumah mahupun premis ke premis.
"Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan RM200 juta tujuan tersebut. Namun, saya tegaskan di sini, saya akan segera bertemu pihak Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan program vaksinasi ini dengan harapan mempercepatkan inokulasi rakyat sebagai salah satu strategi terpenting mendepani wabak ini," katanya.
Comments