Program sewaan motorsikal elektrik diperkenalkan oleh Ahli Majlis Petaling Jaya, Bryan Ng Yih Miin (gambar, empat dari kanan) dalam usaha untuk membantu penghantar makanan di kawasan berkenaan bagi mengurangkan kos menyediakan pengangkutan boleh dicontohi untuk dilaksana di kawasan perbandaran lain.
Bryan Ng yang juga Pengerusi Taskforce P-Hailing berkata, program itu yang menggunakan kenderaan elektrik turut menyumbang kepada kelestarian hidup rakyat yang menjurus ke arah kehidupan Hijau atau green community.
Katanya, usaha tersebut mendapat kerjasama baik ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang juga pembekal Ebike Eclimo dan pemilik premis Dking.
"Program Sewaan Motosikal Elektrik ini merupakan “serampang dua mata” kerana ia menunjukkan empati, inovasi dan komitmen kolektif dalam membina masyarakat Malaysia Madani yang lebih lestari dan penyayang.
"Selain itu, isu e-hailing dan p-hailing yang antaranya ialah isu caj syarikat pengendali yang dianggap tidak berbaloi, tambang yang semakin rendah, lambakan penghantan adalah isu berlarutan yang tidak diselesaikan sebelum ini," katanya dalam ucapan pelancaran perkhidmatan sewaan berkenaan.
Menurut Bryan Ng, pekerjaan penghantar makanan telah berkembang pesat pada era Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lalu dan terus mendapat sambutan sehingga kini.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa masalah dihadapi oleh pekerja ekonomi gig P-Hailing tersebut sebagaimana diutarakan oleh Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRIM), baru baru ini
Jelasnya, antara masalah utama adalah pembayaran perjalanan atau upah merudum dari tahun ke tahun; tiada pengiraan bayaran perjalanan secara telus; perlunya badan pengawal seliaan serta tribunal khas untuk para penghantar makanan dan ketiadaan kawalseliaan di bawah mana mana kementerian.
Oleh itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan Malaysia itu, Program Sewaan Motosikal Elektrik memberi peluang kepada penghantar makanan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pendapatan juga mengatasi halangan kewangan yang mereka hadapi.
"Bagi mereka yang tidak memperoleh pinjaman bank atau tidak mampu membeli motosikal elektrik, program sewaan ini memberikan akses kepada pengangkutan yang cekap dan berkesan untuk bekerja.
"Sebagai pemimpin belia dan Ahli Majlis, komitmen saya adalah untuk memastikan peluang yang sama bagi setiap warga negara untuk mencari nafkah dan memperbaiki kualiti kehidupan.
"Program sewaan ini satu langkah positif dalam mewujudkan masyarakat yang adil dan inklusif," jelasnya.
Selain itu, kata Bryan Ng, inisiatif tersebut adalah langkah awal yang baik dalam penggunaan motosikal elektrik di Malaysia.
"Kami mempromosikan kejayaan Eclimo sebagai contoh cemerlang tentang potensi dan kemampuan negara kita dalam bidang inovasi dan pengeluaran.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Encik Leron, pemilik premis dan syarikat Dking yang telah bekerjasama dengan kami dalam membekalkan premis ini dan menjayakan program ini," katanya lagi.
Turut hadir dalam perasmian program tersebut adalah Mohd Kamil Munim, Timbalan Ketua AMK Malaysia merangkap Setiausaha Politik Menteri Kewangan Malaysia.
Comments