Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan bantu baik pulih rumah B40


Skim bantuan baik pulih di bawah Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di Bandar Tun Razak mencatat kemajuan dengan penyerahan kunci kepada seorang pemilik rumah yang dilakukan oleh Ahli Parlimen bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, hari ini.
Menurut Dr Wan Azizah, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mencari dana dengan kerjasama rakan rakan strategik bagi memulihkan rumah warga miskin di kawasan berkenaan.
"Syabas saya ucapkan kepada Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak dan rakan-rakan strategik lain yang terlibat di atas usaha membaik pulih sebuah rumah yang terpilih bagi program ini.
"Saya percaya, ia sedikit sebanyak akan dapat memenuhi keperluan keluarga yang berpendapatan rendah (B40) dan sederhana yang tinggal di sekitar Parlimen Bandar Tun Razak.
"Sesungguhnya majlis penyerahan kunci ini sekali lagi jelas membuktikan komitmen saya sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun
Razak bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat berpendapatan rendah yang dikategorikan sebagai miskin bandar," katanya.
Menurut Dr wan Azizah lagi, hasrat untuk membantu warga miskin Bandar Tun Razak merupakan sebahagian janji pilihanraya beliau dan beliau rasa senang dapat menunaikannya melalui program berkenaan.
"Inilah hasrat dan perjuangan saya semasa berkempen pilihanraya sebelum ini demi memastikan rakyat di Parlimen Bandar Tun
Razak mendapat manfaat dari kemakmuran dan berpeluang untuk meningkatkan lagi kualiti hidup.
"Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan kawasan perumahan ini sentiasa berada dalam keadaan bersih, harmoni, aman dan sejahtera," katanya lagi.
Sebelum itu, Dr Wan Azizah menyempurnakan penyampaian kunci rumah kepada penerima pertama Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan di Pangsapuri Seri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur
Penerima kunci, Hamidah Moin, 63 dipilih sebagai peserta pertama program tersebut kerana kesusahan hidup yang dihadapinya serta tidak mampu membaiki rumah akibat sumber pendapatan terhad dan memelihara anak orang kurang upaya (OKU).




Comments