Program Rancakkan MADANI sempena tiga tahun Kerajaan MADANI
- Suara Keadilan
- 18 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI tidak pernah berganjak untuk memacu reformasi, memperkukuh tatakelola yang baik sekaligus memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar membawa manfaat terus kepada rakyat di negara ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata, tekad itu tetap konsisten meskipun Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjangkau usia tiga tahun pentadbiran.
"Selaras dengan semangat tersebut, program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku yang dianjurkan pada tahun ini sebagai kesinambungan tradisi pelaburan tahunan Kerajaan MADANI kepada rakyat susulan penganjuran program setahun Kerajaan MADANI dan juga tahun berikutnya program dua tahun Kerajaan MADANI.
"Program ini menjadi wadah penting untuk menampilkan pencapaian kemajuan dasar serta hasil reformasi Kerajaan MADANI secara telus dan mudah difahami oleh rakyat.
"Bermula hari ini hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya menjadi medan titik temu antara kerajaan dan rakyat di mana pelbagai inisiatif merentasi lapan segmen utama daripada produk rakyat MADANI hingga belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dihimpunkan di bawah satu bumbung bagi memperlihatkan ekosistem dasar kerajaan secara holistik dan mudah diakses," katanya ketika menyampaikan Taklimat Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Dalam taklimat sama, Tunku Nashrul turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan hadir pada program berkenaan pada 7 Disember bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup serta berinteraksi terus bersama rakyat.





