top of page

Program Rakan Muda bakal dilaksana secara menyeluruh

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read
Dr Taufiq (berbaju biru muda, atas) menyampaikan sumbangan pakaian seragam pengakap kepada 240 penerima daripada 14 sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani
Dr Taufiq (berbaju biru muda, atas) menyampaikan sumbangan pakaian seragam pengakap kepada 240 penerima daripada 14 sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani

Kementerian Belia dan Sukan akan memperkasa Program Rakan Muda bagi melahirkan lebih ramai belia berkualiti yang mampu memimpin negara pada masa hadapan.


Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, program itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan luar bandar dan daripada peringkat sekolah hingga universiti dan kementeriannya akan merangka, menyusun dan berbincang dengan pihak berkaitan bagi memperkasakan program itu ke peringkat lebih luas.


"Kita komited untuk melahirkan lebih ramai belia yang berkualiti dan mampu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara.


"Sebab itu kita berhasrat untuk terus memperkasakan program Rakan Muda. Tahun lepas sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk program ini dan bagi 2026 RM40 juta diperuntukkan," katanya dipetik.


Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan pakaian seragam pengakap kepada 240 penerima daripada 14 sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Puteri Jaya pada Isnin.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek bernilai RM790,000 bagi baik pulih sekolah dalam kawasan Parlimen Sungai Petani menerusi Program Mesra Rakyat.


Sementara itu tambah beliau, keseluruhan sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan menerusi Program Mesra Rakyat membabitkan hampir 40 sekolah di kawasan Parlimen ini.


"Hampir semua sekolah menengah, kebangsaan serta sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menerima sumbangan untuk menyediakan infrastruktur selain menjadikan sekolah sebagai sekolah digital, selesa dan interaktif," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page