Program pendedahan kerjaya galak ramai belia sertai perkhidmatan awam
- Suara Keadilan
- 18 hours ago
- 1 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata lebih ramai anak muda berminat menyertai sektor perkhidmatan awam, namun masih memerlukan pendedahan mengenai proses permohonan dan persediaan sebelum memasuki sektor itu.
Beliau berkata, atas keperluan tersebut Program Jalinan Mesra Bersama Masyarakat Segamat diadakan bagi memberi panduan secara langsung kepada calon pemohon.
"Atas tujuan itu, kami menganjurkan Program Jalinan Mesra Bersama Masyarakat Segamat, Johor di Dewan Serbaguna Jementah, khusus untuk graduan serta belia lepasan SPM dan STPM mendapatkan panduan secara terus daripada mereka yang berpengalaman," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, program itu diharap dapat meningkatkan keyakinan golongan belia untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor awam, khususnya dalam kalangan masyarakat India.
"Saya berharap program ini dapat meningkatkan keyakinan lebih ramai belia, khususnya dalam kalangan masyarakat India, untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam," ujarnya.
Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penjawat Awam India Putrajaya (IMAIYAM) yang bekerjasama dengan Pejabat Ahli Parlimen Segamat dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, S. Letchumanan Shanmugam dan Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia, Saravanakumar Maniam, yang berkongsi pengalaman sebagai penceramah khas.
Katanya, penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan badan beruniform menerusi reruai pameran memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang kerjaya yang ditawarkan.
"Kehadiran reruai daripada NADI, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta SPA turut menyediakan ruang kepada para peserta mendapatkan maklumat dan meneroka peluang kerjaya secara langsung di reruai agensi, korporat, jabatan serta badan beruniform," katanya lagi.
