top of page

Program Payung Rahmah di semua DUN bantu lega kos hidup rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 16 minutes ago
  • 2 min read

Jualan Rahmah di setiap DUN mampu menangani kos sara hidup rakyat yang meningkat
Jualan Rahmah di setiap DUN mampu menangani kos sara hidup rakyat yang meningkat

Oleh: Hasbul Ahmad


Peruntukan RM1 bilion bagi menangani kos sara hidup, termasuk RM600 juta untuk Program Payung Rahmah yang dilaksanakan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini, disifatkan sebagai satu langkah bersejarah dan bukti nyata bahawa Kerajaan Madani mengotakan janji reformasi melegakan kos hidup rakyat.


Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Fakharuddin Moslim, berkata langkah ini memperlihatkan keberanian dan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyalurkan manfaat terus kepada rakyat, tanpa mengira latar belakang politik atau geografi.


"Tidak pernah mana-mana kerajaan sebelum ini melaksanakan program seperti Payung Rahmah di semua kawasan DUN. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Madani terhadap rakyat bawahan yang berdepan tekanan kos sara hidup.


"Kerajaan Madani bukan sahaja bercakap soal reformasi, tetapi melaksanakannya secara nyata. Program Payung Rahmah ialah manifestasi keadilan sosial bagi memastikan tiada rakyat yang tertinggal daripada arus bantuan," katanya kepada Suara Keadilan.

Fakharuddin Moslim
Fakharuddin Moslim

Fakharuddin menegaskan, pengagihan RM600 juta di seluruh DUN juga akan memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan, khususnya peniaga kecil dan penjaja yang menjadi tulang belakang ekonomi rakyat.


Katanya, pendekatan menyeluruh ini membuktikan bahawa dasar reformasi ekonomi Madani tidak hanya berfokus kepada pertumbuhan angka, tetapi juga kepada kesejahteraan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.


"Apabila bantuan disalurkan terus kepada rakyat dan komuniti setempat, ia bukan sahaja membantu mereka menampung kos hidup, malah merancakkan ekonomi tempatan. Inilah kitaran ekonomi rahmah yang sedang dibina oleh Kerajaan Madani," ujarnya.


Beliau turut menyifatkan pendekatan ini sebagai bukti bahawa kerajaan hari ini serius dalam menunaikan janji reformasi, bukan sekadar slogan politik, tetapi pelan tindakan berasaskan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.


"Rakyat kini dapat melihat sendiri bahawa kerajaan ini bukan kerajaan retorik. Ini adalah kerajaan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat," katanya.


Belanjawan 2026 yang dibentangkan 10 Oktober lalu berjumlah RM470 bilion menampilkan pelbagai inisiatif baharu di bawah agenda Malaysia Madani, dengan fokus kepada mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat dan ketelusan tadbir urus negara.


Antara inisiatif yang dirangka termasuk bagi memperbanyak program Payung Rahmah termasuk Program Jualan Rahmah MADANI di 23,040 lokasi termasuk berdekatan penempatan tentera dan polis dengan peruntukan RM600 juta dan program Jualan Agro MADANI dengan peruntukan RM30 juta


Sejumlah RM 1 bilion peruntukan disediakan bagi menanggung kos pengedaran barangan keperluan asas di pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan antaranya di kawasan Taradas, Kudat, Kawayoi, Kinabatangan, Entaroh, Kapit dan Nanga Segeris, Sibu, Sarawak dengan peruntukan RM250 juta.


Selain itu Program Rebat Bil Elektrik diteruskan melalui agihan sehingga RM40 sebulan kepada setiap isi rumah miskin tegar dengan sejumlah RM55 juta peruntukan, selain program penyeragaman harga di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan barangan keperluan asas dijual pada harga setara dengan Semenanjung Malaysia melalui subsidi pengangkutan dan pengedaran ke kawasan pedalaman.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page