Kerajaan Selangor akan menjalankan secara seiring program Malaysia Madani di bawah Kerajaan Persekutuan dan Masjid Madani di bawah Kerajaan Negeri.
Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Kerajaan Negeri telah pun mempunyai program Masjid Madani sejak tahun lalu, dan bersesuaian dengan tema Madani yang dilancarkan oleh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
Katanya, konsep yang menerapkan nilai baik dan integriti dalam kalangan rakyat itu amat sesuai dengan ciri pemerintahan di Selangor.
"Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar adalah satu set nilai yang perlu diterapkan dalam kehidupan masyarakat
"Jadi konsep nilai ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai daya saing, rakyat mempunyai karektor yang boleh pergi ke peringkat antarabangsa, dihormati dan disegani, bukan jadi bahan lelucon bila kita menyebut tentang Malaysia
"Jadi nilai Madani adalah satu set nilai yang perlu diterapkan dalam masyarakat. Di negeri Selangor kita memang sudah dari awal lagi, tahun lepas, kita telah gerakkan program Masjid Madani.
"Program ini mahu menjadikan masjid yang bertaraf 5 bintang, tandas bersih, cerita, selesa dan mesra pengguna. Jadi bila kita kembangkan kepada masyarakat, maka masyarakat Madani tadi yang mempunyai set nilai, integriti, tanggungjawab dan amanah," katanya kepada Suara Keadilan.
Mengenai pendapat Madani hanya dikhususkan kepada masyarakat Islam dan tidak kepada bukan Islam, Zawawi tidak bersetuju.
Katanya konsep Madani adalah nilai baik sebagai manusia. Hal itu katanya boleh diamalkan oleh semua orang.
"Sebenarnya Madani adalah set nilai, bukan ketamadunan sebagaimana yang difahami. Kalau kita baca buku yang ditulis Datuk Seri Anwar, jelas ia satu set nilai yang akan dijadikan asas dalam menerapkan program
"Di semua program ekonomi, politik, sosial dan kebajikan, berteraskan 6 set nilai. Bukan dimaksudkan ketamadunan, walau pun itu adalah sebahagian maksud Madani. Itu bukan sepenuhnya maksud PM," katanya lagi.
Comentarios